Pengampunan relevan terhadap pesalah kelakuan baik, insaf

Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Kanan: Muhammad Fathi)
Laporan Sinar Harian pada Isnin. (Kanan: Muhammad Fathi)
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan pengampunan hanya relevan dalam konteks pesalah yang telah menjalani hukuman dan didapati berkelakuan baik dan insaf dengan kesalahannya.

Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, jika dirujuk Peraturan 54, Peraturan-peraturan Penjara 2000 di bawah Akta Penjara 1995, laporan pertama bagi pesalah yang dihukum penjara hanya dikemukakan selepas empat tahun.

“Laporan itu yang perlu menjadi asas kepada pertimbangan Lembaga Pengampunan yang membuat keputusan berkaitan rayuan pengampunan.

“Jadi sepatutnya pertimbangan pertama pengampunan hanya dibuat selepas laporan tersebut dikemukakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap banduan termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhak membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan.

Jelasnya, permohonan yang dibuat itu seterusnya akan dipertimbangkan atas dasar ihsan tanpa sebarang prejudis.

Dalam pada itu, Muhammad Fathi berkata, kuasa pengampunan juga tidak boleh digunakan atas asas yang bersifat politik.

Menurutnya, sistem keadilan dan kehakiman boleh runtuh sekiranya politik dijadikan alasan untuk mewajarkan pengampunan.

“Latar belakang atau jasa seseorang yang didapati bersalah bukan satu jaminan bahawa dia berhak untuk mendapat pengampunan.

“Pengampunan juga tidak diberikan sebagai satu keistimewaan kepada seseorang yang pernah menjadi pemimpin utama negara atau apa-apa keistimewaan lain,” ujarnya.

Selain itu, beliau menjelaskan pengampunan segera iaitu lebih awal daripada empat tahun akan menimbulkan persoalan terhadap kewibawaan sistem keadilan negara.

“Proses siasatan, pendakwaan, perbicaraan di pelbagai peringkat mahkamah menjadi sia-sia dan tidak bermakna dengan pemberian pengampunan segera.

“Setiap orang sama di sisi undang-undang. Prinsip ini mesti dipegang kukuh agar rakyat yakin dengan kedaulatan undang-undang dan kewibawaan sistem keadilan.

“Kita tidak mahu mahkamah dan kuasa pengampunan dalam negara kita menjadi bahan tertawa seluruh dunia,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!