Kemalangan maut: Terkilan tiada gambar kenangan bersama kakak

Suhaimi menunjukkan gambar kakaknya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Machang pada Selasa.
Suhaimi menunjukkan gambar kakaknya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Machang pada Selasa.
A
A
A

MACHANG - "Saya terkilan kerana tidak mengambil gambar bersama kakak ketika datang beraya di rumahnya baru-baru ini," kata adik kepada mangsa kemalangan di Kilometer 42 -Jalan Kota Bharu, dekat Kampung Pangkal Changgong, Kuala Krai awal pagi Selasa.

Suhaimi Jusoh, 55, berkata, dia tidak berpeluang mengambil gambar sebagai kenangan bersama kakaknya, Che Hasnah Jusoh, 67, kerana masing-masing ketika itu sibuk menikmati hidangan dan bercerita mengenai keluarga mereka.

Anak keempat daripada lima beradik itu memberitahu, dia yang tinggal di Ayer Lanas, Jeli kali terakhir bertemu kakaknya pada Jumaat lalu selepas membawa keluarganya mengunjungi keluarga kakaknya di Kampung Bunut Tok Mek Teh, Labok.

"Arwah kakak ketika itu tidak banyak berubah dan tetap ceria seperti biasa berbual bersama kami," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Machang dekat sini pada Selasa.

Menurut Suhaimi, pada kebiasaan pertemuan, kakaknya suka bercerita mengenai masakan dan menjamu ahli keluarga lain.

Berkongsi mengenai kejadian kemalangan yang turut membabitkan cucu arwah kakaknya, Nurin Damia Mohd Nizam, 14, Suhaimi memberitahu, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh ahli keluarganya pada jam 7.30 pagi.

"Ada ahli keluarga terdekat memaklumkan kakak kemalangan bersama cucunya dan sudah dibawa ke Hospital Machang.

"Bagaimanapun, saya menerima panggilan kedua beberapa minit kemudian yang memaklumkan kakak sudah meninggal dunia dan terus bergegas ke sini," ujarnya.

Jelasnya, arwah Che Hasnah dan Nurin Damia akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Gendang Lima selepas selesai bedah siasat.

Bapa saudara Nurin Damia, Mat Hassan Mohammed, 47, ketika ditemui di lokasi sama memberitahu, anak saudaranya itu merupakan seorang kakak yang penyayang kepada adik-adiknya.

"Dia tidak banyak berubah dan tetap berbual mesra ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, ketika kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, mangsa Nurin Damia Mohd Nizam, 14, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala Che Hasnah meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Machang.

"Siasatan awal mendapati kereta Perodua Alza yang dipandu Muhammad Asyraf Abdul Manap, 26, dari arah Kuala Lumpur dan hendak pulang ke rumah mereka di Kampung Bunut Tok Mak Teh Labok, Machang.

"Kereta berkenaan dipercayai terbabas sendiri ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan yang berada di bahu kiri jalan.

"Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan rosak teruk dan kedua-dua penumpang yang cedera dikeluarkan oleh anggota bomba," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Adli memberitahu, penumpang di bahagian belakang yang mengalami kecederaan serius di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang kedua disahkan meninggal dunia di Hospital Machang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!