Turkiye pamer jet pejuang buatan tempatan digelar 'KAAN'

Erdogan tidak melepaskan peluang untuk duduk di dalam jet tempur tersebut. - Foto Agensi
Erdogan tidak melepaskan peluang untuk duduk di dalam jet tempur tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

ANKARA - Turkiye menamakan pesawat pejuang generasi kelima yang dibangunkan negara itu dengan nama 'KAAN'.

Pengumuman itu dibuat Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Isnin selepas TF-X yang juga dikenali sebagai Jet Tempur Negara (MMU) ditunjukkan kepada umum buat kali pertama di acara Century of the Future di ibu kota.

"Ankara kini berada di setiap lapangan termasuk darat, laut, kapal selam, udara dan angkasa lepas," ujarnya.

Menurutnya lagi, Turkiye kini menjadi salah salah sebuah daripada lima negara dengan infrastruktur dan teknologi yang berupaya membangunkan pesawat tempur generasi kelima.

Jet pejuang berukuran 21 meter itu dibangunkan Industri Aeroangkasa Turkiye (TAI) berpusat di daerah Kahramankazan dan bakal menggantikan jet F-16 menjelang 2030-an selepas projek itu dilancarkan pada 2016.

Difahamkan, pesawat dilengkapi enjin berkembar itu boleh mencapai kelajuan maksimum 1.8 Mach.

KAAN juga menawarkan kesemua teknologi yang terdapat pada jet pejuang generasi kelima selain perkongsian data yang selamat dan penggunaan peluru pintar. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!