Bayi perempuan baru lahir ditemui di tempat pembuangan sampah

Lokasi bayi perempuan yang ditemui dalam keadaan masih bertali pusat pada Isnin
Lokasi bayi perempuan yang ditemui dalam keadaan masih bertali pusat pada Isnin
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di tempat pembuangan sampah di tepi Jalan Masjid, Kampung Sungai Kayu Ara dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada jam 7.15 pagi.

"Bayi perempuan dalam keadaan berbalut kain kuning, masih bertali pusat dan uri itu ditemukan oleh seorang wanita bersama anak lelakinya, bayi itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamad Fakhrudin berkata, bayi terbabit telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan doktor, bayi berada dalam keadaan stabil dan mempunyai kesan kemerahan di pipi sebelah kiri.

"Berat bayi adalah 2.5 kilogram dengan ketinggian 49 sentimeter, bayi tersebut ditempatkan di wad hospital berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!