UMNO 'jalan pintas' DAP raih sokongan Melayu - Kian Ming
SHAH ALAM - Pemimpin DAP, Dr Ong Kian Ming tidak menafikan bahawa kerjasama antara UMNO bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan adalah 'shortcut' atau jalan pintas bagi parti berkenaan meraih lebih ramai sokongan daripada orang Melayu.
Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berpandangan, sebahagian besar akar umbi DAP masih menolak kerjasama berkenaan namun sanggup melakukannya demi masa depan yang lebih cerah.
"Jika lihat Pilihan Raya Umum ke-15 lalu di beberapa kerusi, majoriti Melayu dan luar bandar memang ada DAP letak calon. Sebagai contoh Grik, kita kalah teruk kerana tak ada akar umbi di sana selain kalau DAP nak cuba masuk kawasan itu memang susah.
"Tapi ada proses di mana DAP boleh kukuhkan diri di kawasan semi urban seperti Bentong. Di Bentong sokongan DAP di kalangan pengundi Melayu hanya 10 peratus walau letak calon Melayu di sana.
"Jadi kalau boleh, meningkatkan peratusan pengundian di kalangan orang Melayu di kawasan seperti ini selain demi masa depan DAP lebih cerah kerana selepas undi 18, peratusan undi Melayu sudah meningkat maka memang tak boleh dinafikan itu adalah shortcut (raih sokongan Melayu) menerusi kerjasama UMNO-DAP," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Program Podcast Keluar Sekejap episod 15 pada Selasa.
Turut hadir bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Bagaimanapun, Kian Ming menyatakan, ia bukan bermakna DAP tiada pilihan kerana parti itu tetap membuat keputusan.
"Kita memberi kuasa kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan Barisan Nasional dan UMNO (rundingan kerusi pilihan raya). Selepas keputusan itu dibuat, DAP terima keputusan berkenaan," ujarnya.
Ketika ditanya perkara tersebut juga merupakan jalan pintas untuk UMNO meraih undi bukan Melayu, beliau berkata, hal berkenaan berkesan, namun berkemungkinan ada hadnya.
"Sebab kita tahu pengundi tegar UMNO apabila mereka keluar mengundi memang akan undi UMNO.
"Kalau sebahagian pengundi tegar UMNO ini sanggup buang undi pada PH dalam satu persefahaman pada pilihan raya negeri akan datang di mana memang kerusi tersebut akan dikongsi, saya rasa undi itu akan berpindah," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!