Undang-undang mesin cetak, komunikasi perlu dilihat semula

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa undang-undang seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta seksyen tertentu dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dilihat semula bagi memberi ruang kebebasan media di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pihak harus menerima hakikat bahawa media kini tidak boleh dikongkong ekoran hampir kesemuanya mempunyai akses kepada media sosial dan maklumat mengalir dengan pantas.

"Saya percaya pengamal media memiliki 'self-censorship' (penapisan diri) dalam isu-isu sensitif demi memastikan keamanan negara.

"Semoga media terus kekal bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak dalam membuat laporan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Selasa.

Sementara itu, mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2022, Ahli Parlimen Bera itu menjelaskan, kejayaan berkenaan dipacu ketika negara di bawah pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, jaminan terhadap kebebasan media, fungsi tanpa gangguan serta campur tangan pihak lain juga pernah ditegaskan sewaktu beliau merasmikan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022.

“Alhamdulillah, kejayaan ini dipacu ketika Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia.

"Pengamal media adalah mata dan telinga untuk kerajaan agar pihak berkuasa yang terlibat boleh mengambil tindakan sewajarnya. Masih ada ruang kebebasan media Malaysia bergerak maju ke hadapan," ujarnya.

Sebelum ini media melaporkan, Malaysia naik enam anak tangga kepada kedudukan 113 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders.

Kedudukan Malaysia di 113 daripada 180 dengan skor 51.55 dan merupakan yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Malaysia mendahului Thailand (115), Indonesia (117), Singapura (139), Kemboja (142), Brunei (144), Filipina (147), Laos (161), Vietnam (174) dan Myanmar (176).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!