Penutupan jalan ekoran pembangunan harus dikurangkan

Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya, pada Selasa. Turut kelihatan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan (kiri). - Foto Bernama
Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang media di Bangunan Perdana Putra selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya, pada Selasa. Turut kelihatan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke (kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penutupan jalan raya susulan pembinaan jalan, bangunan dan infrastruktur harus dikurangkan dan dibuka semula sebagai langkah segera mengatasi kesesakan lalu lintas, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JKMKJR) Bil 1/2023 di sini pada Selasa, Ahmad Zahid berkata, penutupan jalan adalah antara punca yang dikenal pasti berlaku kesesakan jalan raya.

"Satu kordinasi akan dilakukan segera bagi kawasan pembinaan lebuh raya, bangunan atau lain infrastruktur hendak dikurangkan dan mesti dimaklumkan supaya ada kaedah penyuraian," katanya.

Ahmad Zahid berkata, penukaran laluan mesti dilakukan segera bagi mengatasi kesesakan terutama di waktu puncak dan dalam hal demikian, jalan atau laluan utama ke satu destinasi akan diperluaskan dengan laluan kontra.

Ditanya sama ada mesyuarat JKMKJR membincangkan pelaksanaan caj kesesakan khususnya di Lembah Klang, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak dibincangkan tetapi ia akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa teknikal yang akan dipengerusikan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, dua minggu lagi.

Ahmad Zahid berkata, JKMKJR memutuskan supaya kesesakan lalu lintas diselesaikan lebih awal daripada tahun 2030 yang disasarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Sasaran baharu akan ditetapkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal di bawah JKMKJR," katanya.

Sementara itu, Loke berkata pihak polis memaklumkan sesetengah jalan raya ditutup terlalu lama dan penyelesaian segera kepadanya adalah semua jalan yang ditutup mesti dibuka semula.

"Ada (jalan) yang sudah dua tiga tahun ditutup tapi belum dibuka balik. Tapi kita nak penutupan jalan yang sudah terlalu lama, mesti dibuka balik segera," katanya.

Menurut Loke, penguatkuasaan trafik polis memberi cadangan bahawa beberapa jalan di Lembah Klang boleh dibuka semula dan DBKL diminta melihat kepada kesan sebelum membuka semula laluan tersebut.

Beliau berkata segala maklumat dikumpul harus dilengkapkan dalam masa dua minggu dan dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal untuk pelaksanaan segera. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!