Ganjaran lumayan menanti pemenang pingat emas badminton
ATLET badminton yang bakal menggalas cabaran negara ke Sukan SEA Kemboja dijanjikan ganjaran lumayan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sekiranya berjaya membutirkan pingat emas buat negara Mei ini.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, insentif itu adalah bagi menyemarakkan lagi semangat barisan atlet badminton untuk melakar kejayaan cemerlang pada temasya dwitahunan tersebut.
Beliau berkata, pemain perseorangan dijanjikan ganjaran sebanyak RM20,000 dan beregu RM30,000 manakala bagi acara berpasukan pula, setiap pemain akan menerima RM10,000.
"Untuk badminton, kita sudah ada struktur insentif, jadi kita akan ikut insentif itu... Pemain tahu jika mereka beraksi cemerlang, apa ganjaran yang menanti, insentif banyak, untuk kejohanan dunia, jelajah dunia dan banyak lagi kategori,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini sebelum skuad negara berlepas ke Sukan SEA.
Kenny berkata, skuad negara, yang sebelum ini menjalani latihan pusat di ABM, telah melakukan persediaan rapi untuk berentap di Kemboja.
Beliau berkata, pada masa sama, gandingan beregu campuran Yap Roy King-Yap Ling, Choong Hon Jian-Cheng Su Yin diharap mampu mempertahan emas yang diraih Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pada edisi Hanoi.
Di Sukan SEA Vietnam, skuad negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Badminton bakal berentap di Sukan SEA Kemboja menerusi acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, beregu campuran serta berpasukan lelaki dan wanita.
Penolong ketua pasukan Low Yee Yuan, yang juga pemain beregu wanita, optimis skuad beregu wanita telah bersedia sepenuhnya untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!