Perginya pejuang mogok lapar Palestin

Khader memberi inspirasi kepada tahanan Palestin di penjara Israel. - Foto Agensi
Khader memberi inspirasi kepada tahanan Palestin di penjara Israel. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Kumpulan penentang Palestin melancarkan roket dari Genting Gaza ke Tel Aviv pada Selasa susulan insiden kematian pemimpin kanan Gerakan Jihad Islam, Khader Adnan yang melancarkan mogok lapar selama 87 hari di penjara Israel.

Rejim Zionis mengesahkan siren turut dibunyikan di kawasan berhampiran sempadan Gaza selepas insiden bedilan itu berlaku.

Terdahulu, Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) memaklumkan Khader ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sel beliau di pusat tahanan Nitzan di bandar Ramle.

Beliau kemudiannya dibawa ke Pusat Perubatan Shamir di luar Tel Aviv sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.

"Tahanan keselamatan negara yang mogok lapar pada 5 Februari lalu menghembuskan nafas terakhir pada pagi ini," ujar IPS dalam satu kenyataan.

Pemergian beliau pada usia 45 tahun diumumkan sehari selepas sebuah mahkamah di Israel enggan membebaskan tahanan Palestin tersebut walaupun keadaan kesihatannya semakin merosot.

Isterinya, Randa Mousa menzahirkan rasa kesal kerana hakim menolak rayuannya malah menetapkan 10 Mei ini untuk sesi pendengaran seterusnya.

"Saya sudah maklumkan tentang keadaan kesihatan suami saya yang sangat kritikal.

"Beliau menolak sebarang bentuk bantuan termasuk pemeriksaan kesihatan. Israel juga enggan memindahkan beliau ke hospital awam dan tidak membenarkan Khader bertemu peguam," katanya lagi.

Pada minggu lalu, anggota Pasukan Perubatan untuk Hak Asasi Manusia Israel yang melawat beliau memberi amaran tentang keadaan Khader yang berisiko menemui ajal jika tidak segera dipindahkan ke hospital.

"Beliau menghadapi kesukaran untuk bergerak dan bercakap. Khader kelihatan pucat, lemah dan kurus kering," jelasnya.

Sementara itu, Pertubuhan Hak Asasi Manusia mendakwa Israel melanggar kesemua hak dan kebebasan yang diberikan kepada tahanan seperti terkandung di bawah Konvensyen Geneva Keempat.

"Penahanan pentadbiran yang diguna pakai rejim Tel Aviv juga jelas mencabuli hak tahanan kerana mereka ditahan untuk tempoh yang lama tanpa didakwa, dibicarakan atau disabitkan kesalahan," katanya.

Sejak beberapa tahun lalu, tahanan Palestin nekad melancarkan mogok lapar secara terbuka sebagai usaha menzahirkan kemarahan terhadap tindakan penahanan mereka dalam keadaan yang teruk tanpa mematuhi standard antarabangsa. - Agensi

---------

Info

>Khader melancarkan mogok lapar sejurus beliau ditahan pada 5 Februari lalu sebagai membantah penahanannya yang didakwa sebagai tidak sah.

>Beliau dilaporkan mengalami masalah kesihatan yang teruk termasuk kerap muntah darah, sukar bercakap dan bergerak serta sakit seluruh badan.

>Sejak lebih 20 tahun lalu, Khader telah ditahan sebanyak 12 kali oleh rejim Zionis kerana penglibatannya dalam aktiviti politik dan antipendudukan Israel. Beliau pernah meringkuk selama lapan tahun di penjara Israel.

>Pernah melancarkan mogok lapar selama empat kali dan tempoh paling lama adalah selama 67 hari pada 2012. Tindakan nekad itu membawa kepada pembebasannya dan memberi inspirasi kepada tahanan Palestin yang diletakkan di bawah penahanan pentadbiran.

>Pada 2015, Khader sekali lagi melancarkan mogok lapar selama 56 hari. Beliau melakukan tindakan sama selama 58 hari pada 2018.

>Beliau ditahan semula pada 2021 dan diletakkan di bawah penahanan pentadbiran. Khader kembali melancarkan mogok lapar selama 25 hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!