Banteras rasuah kejayaan besar kerajaan PH, kata pakar
SHAH ALAM - Komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) membanteras rasuah dan membersihkan negara daripada amalan tersebut merupakan kejayaan besar meskipun tidak sampai setahun mentadbir Malaysia.
Bercakap kepada Sinar Harian, pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai mengakui beliau berpuas hati dengan kejayaan PH membersihkan negara namun menganggap PH masih perlu memberi tumpuan kepada dasar melibatkan ekonomi negara.
“Saya berpuas hati dengan apa yang dicapai PH dalam satu tahun dalam komitmen membanteras rasuah. Negara seperti Korea dan Hong Kong, selepas mereka memerangi rasuah, negara mereka menjadi bertambah baik.
“Hari ini, mereka menjadi sebuah negara yang jauh lebih bersih daripada Malaysia. Begitupun, negara memerlukan satu polisi yang nyata, apakah arus pembangunan yang ingin dibawa.
“Adakah kita akan memacu ekonomi lebih laju dan terus mengamalkan dasar kapitalisme atau kita nak menumpukan kepada penghapusan kemiskinan dan pengimbangan semula kekayaan,” katanya.
Tegasnya, kerajaan perlu bertindak pantas dan memutuskan tindakan apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu terutamanya dalam isu melibatkan ekonomi rakyat.
Tambah beliau, PH sekarang dilihat menjadikan usaha membanteras rasuah sebagai keutamaan namun rakyat tidak dapat melihat kesannya, seolah-olah kerajaan belum melakukan sebarang tindakan.
“Hakikatnya, masalah ekonomi Malaysia adalah masalah yang sangat besar. Selain daripada hutang yang ditanggung daripada kerajaan lepas, kerajaan baharu sebenarnya menghadapi masalah struktur ekonomi.
“Selepas 60 tahun merdeka, kita masih di takuk lama di mana kita mementingkan pembangunan yang cepat dengan menumpukan perhatian kepada mereka yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan pantas,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!