Warga emas tinggal sehelai sepinggang rumah terbakar
MACHANG - Seorang lelaki warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas kediamannya di Kampung Belukar, Pulai Chondong, di sini musnah dalam kebakaran pada Selasa.
Lelaki berusia 76 tahun itu yang juga penghidap 'minor stroke' tinggal bersendirian di dalam rumah sempat keluar menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Muhamad Osman berkata, isteri warga emas itu tiada di rumah ketika kejadian.
Katanya, enam pegawai dan anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Pemyelamat Machang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 1.47 petang.
"Kebakaran mengakibatkan rumah separa kekal itu musnah 90 peratus.
"Turut hangus, sebuah kereta Proton Wira dan dua motosikal, masing-masing Yamaha Lagenda dan Yamaha Ego," katanya.
Ujar beliau, api berjaya dikawal pada jam 2.11 petang.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!