[VIDEO] Timba ilmu sebelum mulakan perniagaan, elak sia-sia
SHAH ALAM - Individu yang berhasrat mahu memulakan perniagaan perlu menimba ilmu pengetahuan dalam bidang pasaran yang dipilih bagi mengelakkan perniagaan itu menjadi sia-sia.
Pakar Motivasi Keseimbangan Hidup dan Keusahawanan, Dr Hasnorliza Hassan menjelaskan, setiap pekerjaan mempunyai risiko tersendiri namun dengan ilmu yang tepat, perniagaan diceburi mampu meraih kejayaan.
"Risiko bekerja sendiri sangat tinggi kerana banyak aspek yang perlu dipastikan untuk melangkah ke peringkat seterusnya.
"Namun apabila kita tidak buat research (penyelidikan) bidang perniagaan yang diceburi, itulah langkah kegagalan yang pertama. Saya dapati ramai antara kita yang skip 'step' (penyelidikan) ini.
"Mereka perlu pastikan siapa sasaran pelanggan bagi produk yang nak dijual untuk mengurangkan risiko perniagaan selain memastikan pasaran sasaran sesuai dengan kandungan (content) yang cuba diserapkan," katanya dalam program Wacana Sinar edisi 395 bertajuk 'Makan gaji VS Kerja Sendiri' yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Selasa.
Turut diundang menjadi panelis adalah Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Timbalan Naib Presiden Program Wanita TalentCorp, Dinatra Mohd Saat manakala Ismail Adnan bertindak sebagai hos rancangan.
Dalam pada itu Hasnorliza berkata, seorang usahawan yang kurang ilmu dalam bidang perniagaan sukar untuk bertahan dalam suasana persaingan yang semakin mencabar.
Justeru katanya, mereka harus berusaha sebaik mungkin untuk menimba ilmu keusahawanan bagi memastikan perniagaan yang diceburi mampu bertahan.
"Ilmu perniagaan penting kerana semua perkara bergantung kepada kita seperti pemasaran, jualan, staf, logistik, pekerja dan sebaginya.
"Berbanding dengan orang yang makan gaji, mereka ada sumber kewangan tetap berbanding kerja sendiri, oleh itu kita kena bersedia menanggung risiko. Jika tidak, itu yang dinamakan risiko kerja sendiri," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!