Si perokok tegar memang tidak makan saman!

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

MERAK Jalanan kagum dengan keberanian remaja lelaki menegur seorang lelaki berbaju hijau muda yang gayanya seakan seorang atuk merokok di sebuah restoran.

Atuk berkenaan dikecam lantaran videonya yang naik angin selepas ditegur budak setahun jagung itu tular di media sosial pada Ahad lalu.

Bagi Merak Jalanan, tindakan remaja itu perlu dijadikan contoh kerana akhir-akhir ini, amaran larangan merokok di premis makanan seakan diendahkan oleh perokok tegar. Di setiap premis makanan terutamanya di restoran 24 jam, pasti ada golongan perokok atau vape, tidak kira usia, baik muda mahupun tua, tanpa segan silu menghembuskan asap rokok.

Kawan Merak Jalanan pernah menjadi mangsa menghidu kepulan asap dan selepas ditegur, si perokok tegar itu pula memberi nasihat; “Kalau tak nak hidu asap rokok, makan dekat rumah”.

Kerana tidak mahu mendatangkan masalah lain ditambah ketika itu sedang membawa anak kecil, kawan Merak Jalanan terpaksa mengalah dan angkat kaki.

Merak Jalanan lihat penghisap rokok atau vape ini seakan raja apabila berada di premis makanan. Gelagat mereka boleh dilihat setiap masa. Ada yang menghembuskan asap dengan berani umpama mendabik dada dan ada pula yang menghembuskan asap di bawah meja, seakan malu-malu kucing.

Yang pasti, kedua-dua mereka ini mempunyai perangai yang sama iaitu tidak boleh ditegur!

Merak Jalanan pernah membuat teguran di akhbar ini pada 5 September 2019 mengenai larangan merokok di premis makanan seakan pupus kerana wujudnya golongan tidak reti bahasa merokok dengan selamba walaupun terpampang notis di dinding.

Jadi sangat wajarlah kita selaku pelanggan mengambil semangat berani remaja tadi, menegur atau menularkan muka mereka kerana golongan ini memang tak makan saman!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!