Harimau Muda Ela miliki ramuan emas
JURULATIH berpengalaman, Datuk K Rajagobal percaya skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara mampu melakar kejutan biarpun berada dalam 'kumpulan maut' bersama juara bertahan, Vietnam dan Thailand pada Sukan SEA 2023 kali ini.
Beliau berkata, E Elavarasan merupakan jurulatih berpengalaman dan sudah pasti pengendali Harimau Muda itu mempunyai ramuan tersendiri untuk berdepan dengan pasukan yang kuat di peringkat Asia Tenggara.
Biarpun mengakui suasana ketika zamannya membimbing skuad negara meraih 'ibu emas' Sukan SEA berbeza dengan situasi kali ini, Rajagobal tetap percaya setiap jurulatih mempunyai strategi terbaik untuk meraih kemenangan.
“Zaman sudah berbeza tapi cabaran yang bakal dihadapi tetap sama. Saya percaya beliau (Elavarasan) tahu apa nak buat (strategi untuk menang) dan persediaan rapi untuk menghadapi pertandingan.
“Pada saya membimbing skuad negara dalam saingan Sukan SEA lalu, kami juga diundi dalam 'kumpulan maut' yang ada Vietnam dan Thailand selain Kemboja dan Timor Leste.
“Malah, ketika bertemu Vietnam ada pemain utama tidak boleh bermain kerana digantung perlawanan. Itu antara cabaran yang perlu dihadapi,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Pada Sukan SEA edisi ke-32 ini, Malaysia diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama Thailand selaku juara 16 kali selain Vietnam, Singapura serta Laos dalam Kumpulan B.
Malaysia akan memulakan kempen di Phnom Penh menentang Laos di Stadium Olympic pada Rabu.
Selepas berdepan Laos, Harimau Muda akan menentang pemenang 16 pingat emas Sukan SEA, Thailand pada Ahad ini sebelum berdepan juara bertahan, Vietnam (8 Mei) dan aksi terakhir menentang Singapura (11 Mei).
Rajagobal berkata, setiap jurulatih bakal berdepan dengan cabaran tersendiri, namun dengan pengalaman dan strategi betul kejayaan mampu dicapai, biarpun diletakkan dalam kumpulan 'maut'.
Justeru, beliau berkata, menerusi keyakinan dan kepercayaan dengan para pemain yang dimiliki, skuad negara mampu melakar kemenangan, meskipun tanpa pemain utama.
“Perkara ini biasa. Ketiadaan pemain utama atau mengalami kecederaan. Apa pun yakin dengan apa yang kita ada (pemain). Ikut arahan jurulatih dan berikan yang terbaik,” jelasnya.
Sebagai rekod, Rajagobal membantu Harimau Malaya muncul juara Piala AFF 2010 selepas membimbing skuad B-23 negara meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 di Laos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!