Berita palsu: 'Tidak pasti, jangan kongsi'

Perhilitan Johor menyifatkan perkongsian video itu boleh mengelirukan ramai dan perlu dipadam kerana ia tiada kaitan dengan kemunculan harimau di Felda Ulu Tebrau.
Perhilitan Johor menyifatkan perkongsian video itu boleh mengelirukan ramai dan perlu dipadam kerana ia tiada kaitan dengan kemunculan harimau di Felda Ulu Tebrau.
A
A
A

SEMALAM tular sebuah video memaparkan seekor harimau belang sedang melahap seekor lembu yang didakwa berlaku di Felda Ulu Tebrau di Johor.

Video berdurasi 17 saat itu mendapat perhatian seorang ahli Parlimen yang turut berkongsi video berkenaan.

Asbab perkongsian itu, orang ramai terutama penduduk di kawasan terlibat mula menyuarakan kebimbangan dengan kehadiran haiwan itu yang dianggap mengancam keselamatan.

Namun setelah membuat semakan dan carian di laman media sosial, rakaman itu didapati kejadian lama yang berlaku di Indonesia.

Kesan penularan berita palsu ini telah mencetuskan keraguan, kekeliruan malah kebimbangan kepada orang awam selain merosakkan imej seorang yang berstatus Yang Berhormat.

Seharusnya sebagai pengguna media sosial, masyarakat perlu bijak untuk menilai atau menyemak sama ada hantaran yang dibuat sahih atau sebaliknya.

Malah pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membanteras penularan berita palsu.

Namun keterujaan untuk menjadi individu terpantas dan dianggap hebat dalam berkongsi berita tular menjadi faktor mendorong gejala ini tidak dapat dihapuskan.

Sikap demikian menyebabkan mereka kurang memberi perhatian kepada kesahihan berita yang dikongsi, malah untuk menyemak dan mencari bukti kebenarannya juga tidak dititik beratkan

Justeru masyarakat perlu memiliki kesedaran tinggi agar segala inisiatif dan kempen oleh kerajaan atau pihak berwajib akan berhasil.

Jadilah pengguna yang bijak, budayakan amalan 'jika tidak pasti, jangan kongsi.'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!