'Kami mohon maaf tak dapat besarkan Muhammad Arif sebab ekonomi'
SHAH ALAM - 'Kami mohon maaf kerana tak dapat membesarkan Muhammad Arif atas sebab ekonomi', luah ibu bapa yang bertindak meninggalkan bayi mereka di depan pintu pagar surau baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video di akaun TikTok @boboy9077, seorang bayi ditinggalkan di depan pintu pagar surau dengan disertakan nota sampingan pada bayi tersebut bagi sesiapa yang menjumpainya.
Difahamkan ibu bapa kepada bayi yang ditinggalkan itu bertindak meninggalkan anak mereka berikutan masalah kewangan dihadapi.
Nota tersebut bertulis: "Kami mohon maaf kerana tak dapat membesarkan Muhammad Arif atas sebab ekonomi.
"Kami mohon sesiapa yang dapat dan sanggup membesarkan dia. Kami sangat-sangat berterima kasih."
Bayi yang ditinggalkan tersebut dilihat lengkap berbaju dan disertakan barangan lain termasuk selimut, tisu basah dan susu.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan pandangan dan simpati terhadap bayi berkenaan.
"Mak dan ayah kamu tak buang kamu tapi mereka nak kamu yang lebih baik, sayang. Semoga kamu tetap berbakti pada kedua ibu bapa kamu," komen pengguna akaun TikTok bernama Roziah abd Razak.
"ALLAH sahaja yang tahu, mungkin tekanan kehidupan ekonomi yang teruk tapi kita lupa sebenarnya anak kecil inilah yang akan membawa rezeki pada kita," komen pengguna akaun TikTok bernama MecLisandra_Official.
"Kita tak tahu apa lagi dialami oleh ibu bapa bayi itu tapi apa yang saya tengok bayi tu dalam keadaan bersih. Siap ada susu lagi, punca utama faktor ekonomi," luah pengguna akaun TikTok bernama Rodziahzaharin7798.
Perkongsian itu tular di TikTok dengan tontonan sebanyak 3.6 juta; 172,000 tanda suka dan 11,600 komen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!