Warga emas perkenal set Menu Rahmah asam pedas

Mohd Khalid menunjukkan sebahagian menu yang terdapat di Allid's Cafe Taman Merdeka Jaya.
Mohd Khalid menunjukkan sebahagian menu yang terdapat di Allid's Cafe Taman Merdeka Jaya.
A
A
A

MELAKA - Usia bukan penghalang bagi seorang tukang masak warga emas untuk menceburi perniagaan kedai makan yang dinamakan Allid's Cafe.

Mohd Khalid Abdul Rahman, 60, berkata, sebelum ini dia bekerja menguruskan kafe asrama sekolah di Negeri Sembilan, sebelum tekad bersama adiknya Ahmad Nasaruddin Abdul Rahman, 50, menceburi bidang baharu itu bermodalkan wang simpanan sebanyak RM70,000.

Menurutnya, minat yang mendalam dalam bidang masakan mendorong mereka berdua mewujudkan cafe berkonsepkan 'Santai Rahmah' di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam dengan harga menu berpatutan.

Katanya, walaupun dihimpit dengan keadaan ekonomi semasa, namun usaha yang dilakukan secara tidak langsung dapat membantu pelanggan dengan menyediakan juadah sarapan pagi termasuk Menu Rahmah pada setiap Jumaat.

"Kafe ini baharu beroperasi tapi kita mahu berkongsi rezeki dengan orang lain dengan memperkenalkan set Menu Rahmah asam pedas ikan kembung atau pari pada harga RM5 beserta minuman.

Mohd Khalid (kiri) dan adiknya, Ahmad Nasaruddin menyahut cabaran mengusahakan kafe.
Mohd Khalid (kiri) dan adiknya, Ahmad Nasaruddin menyahut cabaran mengusahakan kafe.

"Harap usaha kami ini sekurang-kurangnya membantu golongan B40 terutama di kawasan ini kerana itu pemilihan lokasi kami bukan di kawasan bandar tapi di lokasi strategik ini," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.

Ujarnya, selain itu pelanggan juga boleh menikmati menu lain seperti nasi lemak lauk ayam berempah, ayam rendang, sotong, rendang daging mi dan lontong.

"Allid's Cafe turut disediakan menu nasi ayam penyet presto dan juga makanan barat seperti spaghetti carbonara dan bolognese, tidak ketinggalan aneka pastri yang dihasilkan kami sendiri," katanya lagi.

Tambahnya, cafe yang terletak di tepi jalan itu dan beroperasi dari jam 7 pagi hingga 8 malam boleh menerima hampir 50 pelanggan dalam satu masa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!