800,000 penduduk lari dari Sudan - PBB
Jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Olga Sarrado, dalam taklimat akhbar PBB pada Selasa berkata kira-kira 600,000 daripada jumlah itu merupakan pelarian Sudan serta pelarian yang dihoskan oleh Sudan.
Selain itu, lebih 200,000 pelarian dari negara jiran Sudan Selatan dan dari tempat lain yang kini berada di Sudan mungkin terpaksa pulang lebih awal, kata Sarrado, lapor Agensi Anadolu.
Beliau berkata lebih 100,000 pelarian, termasuk pelarian Sudan serta Sudan Selatan pulang lebih awal, dan pelarian sedia ada di Sudan dipercayai telah melarikan diri ke negara jiran.
Sarrado berkata pergerakan rentas sempadan yang paling ketara setakat ini ialah pelarian Sudan yang tiba di Chad dan Mesir dan Sudan Selatan, kebanyakannya terdiri wanita dan kanak-kanak.
"Walaupun UNHCR mempunyai operasi di banyak negara jiran, agensi itu menugaskan pasukan kecemasan tambahan dan mengaktifkan rantaian bekalan globalnya, termasuk pesanan untuk kira-kira 70,000 item bantuan teras daripada simpanan global kami untuk Chad dan Sudan Selatan," kata Sarrado.
Jurucakap Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jens Laerke, berkata Pelan Tindak Balas Kemanusiaan berjumlah US$1.7 bilion untuk Sudan hanya dibiayai 14 peratus.
OCHA menyeru semua penderma untuk segera menyokong kumpulan kemanusiaan supaya bantuan yang sangat diperlukan dapat disampaikan, kata Laerke.
Menurut Kementerian Kesihatan Sudan sekurang-kurangnya 528 orang terbunuh dan lebih 4,500 cedera sejak konflik di Sudan pada 15 April - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!