Polis buru tiga suspek larikan tabung masjid
PETALING JAYA - Polis sedang memburu tiga lelaki disyaki mencuri duit tabung di sebuah masjid di SS7, Kelana Jaya, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada petugas masjid tersebut pada jam 7.30 pagi.
"Pengadu mendapati tabung masjid yang berada di pekarangan masjid telah tiada ketika dia bersama jemaah selesai menunaikan solat Subuh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohamad Fakhrudin berkata, pengadu telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati tiga suspek lelaki telah masuk ke dalam kawasan masjid.
"Suspek menggunakan pemotong besi dan melarikan tabung masjid tersebut, anggaran kerugian yang dialami oleh masjid tersebut kira-kira RM400," katanya.
Beliau berkata, kes telah disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang perlakuan jenayah boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!