Lapan alasan hakim jatuh hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Hakim Izralizam Sanusi mengemukakan lapan alasan ke atas keputusannya seperti berikut:
1) Keterangan orang kena tuduh (OKT) berkaitan insiden Bella terkena air panas adalah keterangan dengar cakap atau klise. Ini kerana OKT tidak berada di tempat kejadian dan tidak menyaksikan kejadian yang didakwa berlaku tersebut.
OKT mendakwa kejadian tersebut diceritakan oleh saksi pendakwaan kelima (SP5), Yasmin Nahar Mahmood (bekas penghuni Rumah Bonda) melibatkan Bella, Balqis dan Aida.
Yasmin ketika memberikan keterangan menafikan kejadian tersebut dan beliau tidak pernah mengesahkan kejadian itu.
Balqis dan Aida telah ditawarkan pada pembelaan namun tidak dipanggil pihak pembelaan sebagai saksi untuk mengesahkan sama ada insiden kemalangan air panas tersebut benar-benar berlaku.
2) Pada 24 September 2020, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah supaya Bella diletakkan di bawah OKT sehingga Bella mencapai umur 18 tahun.
Menurut eksibit itu, OKT sebagai orang yang diperintahkan untuk memelihara Bella hendaklah memaklumkan serta berbincang dengan saksi pendakwaan 12, Mohamad Imran Mohamed Zanyuin (Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat) yang bertindak sebagai pegawai pelindung Bella apabila timbul sebarang masalah.
OKT tidak memaklumkan Mohamad Imran dengan segera mengenai kejadian air panas yang dikatakan berlaku pada 6 hingga 9 Mei 2021, tetapi OKT hanya memaklumkan Mohamad Imran pada 24 Jun 2021 menerusi aplikasi WhatsApp ketika Bella dibawa ke hospital.
Walau bagaimanapun mesej itu adalah bercanggah dengan keterangan OKT bahawa Bella lari ke dapur merebut sesuatu dengan Balqis di laundry, lalu terkena air panas di bilik tersebut.
Dalam mesej tersebut juga OKT juga menyatakan 'dah banyak kali kena'.
Kegagalan OKT memaklumkan kejadian kepada Mohamad Imran dalam tempoh masa yang munasabah selepas kejadian berlaku dan seterusnya menghantar mesej yang bercanggah dengan kejadian yang dikatakan berlaku menunjukkan OKT mereka-reka cerita air panas itu di bilik laundry.
3) Pada 6 hingga 9 Mei 2021, OKT mendakwa Bella cedera akibat air panas tertumpah dari termos yang jatuh lalu menyebabkan kecederaan yang teruk.
Namun Bella didakwa dibawa ke sebuah klinik di Setapak hanya selepas hampir sebulan kejadian berlaku iaitu pada 2 Jun 2021.
Tindakan OKT merujuk Bella kepada doktor selepas hampir sebulan kejadian adalah satu tindakan yang tidak munasabah, ini menunjukkan insiden air panas tersebut sebenarnya pada dapatan saya tidak pernah berlaku.
4) Saksi pembelaan kedua (SD2) mendakwa Yasmin menceritakan pada beliau mengenai insiden kemalangan Bella terkena air panas, namun begitu dakwaan SD2 itu tidak pernah ditanya atau dicadangkan kepada mana-mana saksi pendakwaan terutamanya SP5 untuk mengesahkan perbualan itu antara Yasmin dan SD2 tersebut benar-benar berlaku.
Malah SD2 juga tidak pernah ditimbul atau disebut di peringkat pendakwaan sehingga hadir sebagai saksi pembelaan.
Keterangan SD2 berhubung insiden tersebut bersifatkan difikirkan kemudian atau after thought, maka dakwaan insiden Bella terkena air panas wajar ditolak.
5) Sekiranya termos terjatuh ke atas badan Bella yang menyebabkan penutupnya terbuka lalu air panas tertumpah dan terkena pada badan Bella, seharusnya menyebabkan melecur di bahagian badan sahaja, bukan kecederaan yang mencakupi keseluruhan badan Bella sebagaimana yang ditunjukkan saksi dan bukti yang dikemukakan.
Oleh itu luka-luka yang dialami Bella yang diakibatkan satu insiden kemalangan adalah tidak munasabah dan wajar ditolak.
6) Doktor yang menjadi saksi pendakwaan juga mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami bukan terhasil daripada satu insiden sahaja. Sebaliknya, doktor-doktor mengesahkan terdapat banyak luka pada badan mangsa serta berpendapat ianya berlaku dalam masa yang berlainan.
Kecederaan itu berlaku dalam masa yang berbeza. Ini kerana ada kecederaan yang sembuh dan ada kecederaan yang tidak sembuh. Keterangan doktor-doktor tersebut adalah keterangan pakar.
OKT tidak mengemukakan sebarang keterangan pakar yang boleh menyangkal keterangan mereka. Oleh itu adalah jelas bahawa dapatan dan pengesahan doktor-doktor tersebut jelas menolak dakwaan OKT bahawa kecederaan Bella adalah disebabkan oleh insiden kemalangan tersebut.
7) OKT mendakwa Yasmin menceritakan insiden kemalangan Bella terkena air panas tersebut menerusi telefon. Namun dalam perkara ini OKT tidak mengemukakan rekod panggilan pada tarikh dan masa seperti masa yang dikatakan OKT.
8) OKT mengakui terhadap kecederaan pada badan Bella sebelum Mei 2021 ketika disoal balas, OKT bersetuju bahawa kecederaan sudah ada di tangan kiri Bella pada Mac dan April 2021.
Berdasarkan jawapan OKT sendiri yang mengesahkan kecederaan Bella sudah ada sejak Mac dan April, jelas membuktikan kecederaan Bella bukan disebabkan insiden kemalangan terkena air panas tersebut. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun diperintah ke Penjara Kajang hari ini
ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun wajar dipenjara hari ini - Pendakwaan
ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun mohon hukuman jel 12 tahun ditangguh
ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun dihukum penjara 12 tahun
ARTIKEL BERKAITAN:Pertimbang saiz badan Siti Bainun sebelum jatuh hukum - Peguam
ARTIKEL BERKAITAN:Siti Bainun sudah insaf, rayu hukuman ringan - Peguam
ARTIKEL BERKAITAN:Pendakwaan mohon Siti Bainun dikenakan hukuman berat
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Bainun didapati bersalah abai, aniaya Bella
ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Kes Bella: Nasib Siti Bainun akan diketahui hari ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!