Peluang rakyat Selangor miliki rumah pertama tidak ditutup
SHAH ALAM - Rakyat Selangor khususnya pembeli-pembeli rumah pertama tetap berpeluang untuk memiliki rumah sendiri walaupun Skim Rumah Pertamaku (SRP) dimansuhkan bermula 1 April ini.
Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail berkata, skim dan Projek Rumah Selangorku tetap diteruskan untuk membantu golongan terbabit.
"Walaupun Skim Rumah Pertamaku dimansuhkan ia tidak mengganggu skim perumahan yang disediakan kepada rakyat Selangor kerana ia merupakan skim berbeza malah ia terus mendapat permintaan tinggi.
"Kita akan membantu mereka yang pertama kali hendak membeli rumah dan Selangor kekal dengan program rumah pertama ini," katanya ketika ditemui di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Rabu.
Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas pemansuhan SRP mulai 1 April depan, seperti diumumkan perbadanan pengurusan skim tersebut, Cagamas Bhd baru-baru ini.
Rodziah ditemui pada Majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) membabitkan Yayasan Mesra Selangor sebuah anak syarikat kerajaan negeri dengan tiga rakan strategik iaitu mudahamal.com, Gedung Penawar Sdn Bhd dan Noble Care Malaysia Sdn Bhd.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Yayasan Mesra Selangor, Zahariman Ariffin.
Dalam pada itu, Rodziah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baru Tiga berkata, antara program rumah pertama di Selangor termasuklah Rumah Selangorku, Rumah Idaman dan Rumah Harapan.
"Sekarang kita ada Rumah Selangorku 3.0 yang mana permohonan sudah mula diterima dan kalau tiada masalah dalam dua hingga tiga tahun lagi kita boleh lihat perkembangannya.
"Harga rumah satu bilik, dua bilik atau empat bilik ini bermula dari RM114,000 dan paling tinggi RM250,000," katanya.
Sementara itu, Zahariman berkata, Yayasan Mesra Selangor adalah sebuah anak syarikat kerajaan negeri di bawah portfolio Kesejahteraan Bandar dan diselia oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
"Hari ini Yayasan Mesra Selangor mengadakan satu majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan tiga rakan strategik.
"Ia membabitkan mudahamal.com untuk program Mesra Qurban, Gedung Penawar Sdn Bhd untuk program Dialisis Mesra Selangor dan Noble Care Malaysia Sdn Bhd untuk program Pusat Mesra Wargamas.
"Dengan adanya perkhidmatan ini pihak yayasan berharap rakyat dapat diberi peluang serta alternatif kepada kemudahan yang sebelum ini sukar diadakan atau diberi secara percuma," katanya.
Mudahamal.com adalah satu organisasi mempunyai stok lembu terbesar di Selangor dengan empat buah kandang di beberapa tempat strategik di Selangor dengan stok pusingan 2,000 ekor.
Gedung Penawar Sdn Bhd menerusi program Dialisis Mesra pula menawarkan kerjasama untuk mengadakan pusat dialisis bertujuan membantu rakyat miskin memerlukan khidmat tersebut.
Sementara Noble Care Malaysia Sdn Bhd menerusi program Pusat Mesra Wargamas adalah bagi membantu mereka yang mempunyai masalah 'terminal disease' atau 'dimentia'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!