Hidupkan prinsip masyarakat Madani menerusi media adil - PM

Anwar Ibrahim. - Foto: Bernama
Anwar Ibrahim. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan mengulangi komitmen dan tekad jelas untuk menghidupkan prinsip masyarakat Madani menerusi media yang adil dan berfakta.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ciapan balasnya di Twitter berkenaan Malaysia menduduki tempat ke-73 bagi Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 yang juga merupakan kedudukan tertinggi pernah dicapai.

Ahli Parlimen Tambun itu turut berharap agar media dapat terus berkarya dan menjunjung prinsip-prinsip demokrasi.

“Kerajaan Perpaduan mengulangi komitmen dan tekad jelas menghidupkan prinsip masyarakat Madani menerusi media yang adil dan berfakta. Semoga media terus berkarya dan menjunjung prinsip-prinsip demokrasi,” katanya pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 berdasarkan laporan Reporters Without Borders (RSF) berbanding tangga ke-133 tahun lepas.

Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia meningkat 40 anak tangga dengan mencatat 62.83 mata berbanding tahun sebelumnya pada kedudukan 113 dengan 51.55 mata.

Malaysia turut menduduki kedudukan tertinggi di ASEAN, diikuti Thailand di kedudukan ke-106, Indonesia (108), Singapura (129), Filipina (132), Brunei (142), Kemboja (147), Laos (160), Myanmar (173) dan Vietnam (178).

Indeks berkenaan yang disiarkan di laman sesawang RSF, bertujuan membandingkan tahap kebebasan pengamal-pengamal media di 180 negara dan wilayah seluruh dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!