Pelaksanaan 5G diteruskan melalui DNB hingga capai 80 peratus
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini diteruskan melalui Digital Nasional Bhd (DNB) sehingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan dipersetujui dalam mesyuarat kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Katanya, peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat-syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.
"(Kepelbagaian rangkaian) bukan sahaja untuk rakyat, malah juga untuk sektor perindustrian yang merupakan antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.
"Keputusan ini dibuat dengan anjakan fokus kepada elemen penerimagunaan dan inovasi berasaskan teknologi 5G secara komprehensif,” katanya dalam sidang media mengenai pelaksanaan 5G di sini pada Rabu.
Anwar sebelum ini mengarahkan pelan pelaksanaan 5G disemak semula kerana tidak dilaksanakan secara telus oleh kerajaan sebelum ini dan ketiadaan proses tender sewajarnya.
Fahmi berkata, model itu turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.
"Selaras dengan prinsip utama yang digariskan dalam ucapan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, peralihan ini dapat memanifestasikan keterangkuman melalui penyertaan penuh penyedia perkhidmatan tanpa menjejaskan langganan 5G sedia ada pada kadar yang berpatutan untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan DNB serta pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan keyakinan pelabur.
Fahmi berkata, kerajaan juga telah memutuskan satu entiti atau rangkaian baharu boleh diwujudkan selepas 80 peratus liputan kawasan berpenduduk dicapai.
Beliau berkata, pelaksanaan 5G fasa dua yang dijangka bermula Januari 2024 itu akan dibuat menerusi entiti baharu yang akan dikenal pasti kelak, dengan segala proses dibuat secara tender terbuka.
"Syarat am yang menjadi tunjang teras kepada sistem dalam pelaksanaan 5G antaranya adalah harga berpatutan kepada rakyat.
"Akhirnya, (rakyat) ingin tahu berapa kena bayar... telah sebut bagi DNB, harga borong per gigabit (GB) adalah lebih kurang 12 ke 13 sen dan itu juga asas bagi entiti (baharu)," katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan pelaksanaan 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023 dapat dilaksana memandangkan ketika ini jumlah capaian adalah 57.8 peratus setakat hujung Mac lepas.
"Apa yang paling utama adalah pelaksanaan 5G ini tidak ada gangguan kepada pelanggan," katanya.
Ditanya syarikat mana yang ingin mendapatkan projek 5G di negara ini, beliau menjelaskan tidak mengetahui perkara itu namun menegaskan tidak akan melayan sebarang usaha melobi pelaksanaan 5G di Malaysia.
"Untuk berlaku adil Ericsson (kontrak) diberikan melalui proses tender. Saya fikir itu perlu ditekankan... ia melalui proses tender," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!