Sanusi dakwa PH-BN celaru, dikawal ‘abang besar’

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa berdepan kecelaruan terutama dalam isu membabitkan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia susulan perbalahan kenyataan membabitkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO yang menyerlahkan ketidaksefahaman dalam isu berkenaan.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas itu turut melahirkan simpati kepada Amanah yang seakan ditekan oleh ‘abang besar’ dalam PH.

“Gagasan PH-BN nampak celaru sekarang. Amanah minta ampun pada UMNO. UMNO minta ampun bagi pihak Najib. Amanah tak setuju. UMNO pula marah Amanah. DAP cakap tak setuju, UMNO tak kata apa kepada DAP.

“Bukankah itu menunjukkan kecelaruan. DAP mereka tak berani bersuara. Saya kasihan pada Amanah, mudah dibuli UMNO. Tak sampai sehari terus minta maaf, hilanglah identiti mereka. Tengok siapa 'abang besar' dalam PH dan BN,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi mengulas mengenai tindakan Amanah yang terpaksa membuat permohonan maaf kepada UMNO atas keterlanjuran kenyataan dikeluarkan seorang pemimpinnya berhubung isu berkenaan, sedangkan DAP tidak pula perlu berbuat demikian.

“Sebab itu saya tak mahu mereka, saya mahu PN terus mengepalai politik negara,” tegasnya.

Sebelum ini, Amanah memohon maaf kepada UMNO atas keterlanjuran kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berhubung isu pengampunan terhadap Najib.

Sementara Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap isu terbabit dapat diselesaikan dan beliau sendiri sudah berjumpa dengan Presiden UMNO serta timbalannya.

Muhammad Sanusi berkata, situasi tersebut jelas menunjukkan DAP sebenarnya berperanan sebagai 'abang besar' dalam kerjasama PH dan BN.

"Dengan DAP, Ong Kian Ming cakap isu sama tak kata apa. Tengok siapa abang besar dalam PH dan BN,” ujarnya.

Sebelum ini, Khalid dilapor mengeluarkan kenyataan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap Najib.

Beliau dalam satu kenyataan kemudian berkata, UMNO perlu menghormati pendirian Amanah berhubung isu tersebut.

Pada Selasa, bekas Ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming membuat peringatan agar batasan yang ada dalam jalinan kerjasama PH dan BN tidak boleh dilanggar, antaranya termasuk pembebasan Najib sebelum hukuman penjaranya tamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!