Lelaki subahat guna dokumen palsu direman lima hari
SHAH ALAM - Seorang lelaki direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan bersubahat dengan seorang pegawai kerajaan dalam urusan pindah milik tanah seorang individu menggunakan dokumen palsu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman setelah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Lelaki itu, yang bekerja sendiri, ditahan pada jam 1.55 petang semalam di pejabat SPRM Selangor di sini ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, kegiatan lelaki itu terbongkar selepas waris pemilik tanah itu mengesahkan penama, yang merupakan bapanya, sudah meninggal dunia dan tanah itu tidak pernah dipindah milik kepada mana-mana pihak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!