Masa buat Zii Jia bangkit

Ranking Zii Jia jatuh dari tangga keempat ke kedudukan kelapan dunia. - Foto Agensi
Ranking Zii Jia jatuh dari tangga keempat ke kedudukan kelapan dunia. - Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mungkin boleh menekan butang panik apabila tergelincir ke tangga kelapan berbanding ranking keempat sebelum ini.

Kedudukan tersebut meletakkan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu dalam bahaya bagi misi pemburuan emas sulung negara pada Sukan Olimpik Paris tahun depan.

Andai Zii Jia tidak segera bangkit, kedudukannya dalam program Road To Gold (RTG) juga terancam yang menetapkan syarat berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

Kemaskini terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu sepatutnya 'membangunkan' Zii Jia untuk melakukan sesuatu selepas keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu berdepan prestasi tidak menentu, biarpun meraih beberapa gelaran selepas keluar BAM.

Situasi bertambah sulit selepas dia memilih bergerak sendiri tanpa bimbingan jurulatih apabila berpisah dengan Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Minggu lalu dia tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas kalah kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long.

Turut mengalami nasib sama, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila ranking dunia mereka turun satu anak tangga jatuh ke tangga ketiga dunia.

Aaron-Wooi Yik juga berdepan kemelut prestasi apabila sukar untuk kekal konsisten terutama selepas muncul juara dunia tahun lalu.

Saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei ini menjadi medan terbaik untuk mereka bangkit mempamerkan watak sebenar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!