Dua anggota bomba cedera ketika padam kebakaran kilang perabot

Sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai terbakar pada Rabu.
Sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai terbakar pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Dua anggota bomba cedera ketika sedang bertugas memadam kebakaran di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu, Mohamad Fazzil Mohamad Yusof berkata, mangsa terlibat ialah Arif Aqmal Zulkiflee, 22, anggota bantuan dari BBP Melaka Tengah yang mengalami kecederaan pada bahagian rusuk sebelah kanan dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.

"Anggota terlibat dilaporkan tergelincir dan tertusuk kaca ketika sedang melakukan kerja-kerja memadam kebakaran di kilang berkenaan dan mangsa diberi rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

"Seorang lagi anggota iaitu Mohd Ariffin Razid berusia 24 tahun dari BBP Tangga Batu pula melecur pada bahagian tengkuk akibat terkena lelehan air panas dan mangsa juga diberi rawatan awal dan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kebakaran kilang perabot berkenaan kira-kira jam 11.20 pagi sebelum tiga jentera, dua lori tangki dan satu kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian secara berperingkat lima minit kemudian.

Katanya, operasi berkenaan melibatkan sebanyak 25 anggota dari BBP Tangga Batu, Melaka Tengah, Cheng dan Ayer Keroh dan sebaik tiba di lokasi kejadian, kilang papan berkeluasan 200 x 400 kaki persegi itu telah terbakar 45 peratus.

Mohamad Fazzil berkata, kebakaran berkenaan berjaya dikawal pada jam 12.19 tengah hari dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!