Jambatan baharu rekaan terkini ganti Jambatan Enggor
SUNGAI SIPUT - Sebuah jambatan baharu yang lebih kukuh dan menggunakan rekaan terkini akan dibina bagi menggantikan Jambatan Enggor yang runtuh dekat sini.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembinaan jambatan itu merupakan usaha kerajaan negeri dengan peruntukan diluluskan kerajaan Pusat melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Dari segi kos kita tidak dapat nyatakan secara kasar sekarang ini, tetapi JKR akan buat perinciannya dalam masa terdekat.
"Tidak ada kaedah sementara kerana kita dapati, jambatan ini sudah tidak lagi stabil dan berbahaya kepada orang ramai lebih-lebih lagi apabila berlaku hujan lebat.
"Atas faktor itu, JKR mengambil tindakan serta-merta untuk membina baharu jambatan mengikut kaedah dan rekaan baharu serta lebih kukuh bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke lokasi kejadian di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah JKR Perak, Ir Hamdan Ali.
Mohammad Nizar berkata, laluan jambatan berkenaan ditutup sepenuhnya sehingga kerja pembinaan baharu selesai yang dijangka memakan masa antara 15 bulan hingga dua tahun.
Katanya, lencongan jalan dan laluan alternatif telah disediakan kepada penduduk setempat sejauh 5 kilometer yang boleh digunakan kenderaan berat dan ringan.
"Jambatan ini sebenarnya sudah ada dalam rancangan JKR untuk dilebarkan, tetapi perkara ini (runtuhan) berlaku sebelum usaha itu dilaksanakan.
"Jadi nanti mungkin kita dapat gabungkan projek bukan hanya melibatkan jambatan tetapi sekali kerja-kerja mengukuhkan benteng dan cerun Sungai Enggor yang melalui Sungai Perak," katanya.
Jambatan dianggarkan sepanjang 13 meter yang menjadi laluan utama ke Karai termasuk kawasan sejarah, Jambatan Victoria itu runtuh berikutan hujan lebat berterusan sejak seminggu lalu.
Kejadian disedari penduduk sekitar jam 11.40 malam pada Selasa itu menyebabkan rutin harian hampir 5,000 penduduk antaranya di Enggor, Kampung Jawang, Kampung Loh dan Salak terjejas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!