Guru wanita trauma gambar keluarga dipapar dalam video lucah
KUANTAN - Seorang guru wanita dari Kemaman, Terengganu trauma apabila mendapati gambar keluarganya di Facebook peribadi dimuatkan dalam video-video lucah yang tular di media sosial.
Video lucah itu memuatkan aksi onani pelaku dengan memaparkan gambar guru wanita terbabit, anak perempuan, kakak ipar dan anak saudara perempuannya sebagai latar belakang yang dikongsi di sebuah akaun Twitter sejak Disember tahun lalu.
Ada antara video yang memaparkan gambar mangsa dan keluarganya itu mendapat sehingga 2.4 juta tontonan dalam kalangan pengikut akaun laman sosial tersebut.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Madam Tan, 40, berkata, video-video lucah yang melibatkan maruah keluarganya itu disedari pada 15 Mac lalu selepas dihubungi rakan.
Menurutnya, selepas diteliti, akaun Twitter tersebut aktif sejak 17 Disember tahun lalu dan puluhan video lucah memaparkan gambarnya dan ahli keluarga termasuk gambar anak perempuannya yang berpakaian seragam sekolah dikongsi pelaku.
"Lebih memalukan, setiap video yang dikongsi turut disertakan kenyataan-kenyataan lucah dan mendapat komen menjijikkan 'lelaki gila seks' pengikut akaun tersebut.
"Saya dapati selain saya dan keluarga, ramai lagi kanak-kanak dan wanita lain menjadi mangsa dan kebanyakan dalam kalangan kenalan kami yang tinggal di sekitar daerah Kemaman ini," katanya.
Madam Tan berkata demikian ketika ditemui selepas membuat aduan dan mengadakan sidang medianya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang di di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Teruntum di sini pada Rabu.
Menurutnya, susulan penyebaran video lucah itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Chukai, Kemaman pada hari yang sama.
"Selang beberapa hari kemudian, saya dapati beberapa video lucah baharu yang turut memaparkan gambar kami dimuat naik melalui akaun laman sosial tersebut.
"Berdasarkan kenyataan-kenyataan yang disertakan, saya syak pelaku orang tempatan dan mungkin mengenali secara dekat keluarga kami," jelasnya yang trauma dengan perbuatan terkutuk pelaku berkenaan.
Katanya, selain bimbang gerak-geri mereka dipantau, tindakan pelaku membuatkan keluarganya diselubungi rasa rasa malu hingga tidak berani untuk keluar ke tempat-tempat awam.
"Kalau keluar pun, kami akan memakai penutup muka untuk mengelak daripada dikenali," ujarnya.
Selain itu katanya, pihak sekolah juga telah dimaklumkan berhubung kejadian tersebut atas faktor keselamatan anak-anaknya.
Sementara itu, Chon Siang berkata, kejadian itu amat serius dan tidak boleh terus dibiarkan.
Menurutnya, siasatan perlu segera dilakukan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti dan segera menahan pelaku terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!