Penduduk kesal perbuatan bakar, buang sampah secara haram
NILAI – Penduduk di sekitar Mantin dinasihatkan supaya tidak membuang sampah secara haram di kawasan yang tidak dibenarkan.
Ahli Majlis Perbandaran Nilai, V Yogeswaran berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan pembuangan sampah haram di Mantin, sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran berdekatan Lebuhraya Lekas.
Menurutnya, ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuang dan membakar sampah di kawasan itu.
“Minggu lalu, kawasan tempat pembuangan sampah haram ini terbakar dipercayai perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab.
“Kita tahu, kalau ada kebakaran mesti berlaku pencemaran udara. Jadi, ini mengundang bahaya kepada pengguna kalan raya dan penduduk setempat,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Yogeswaran berkata, beliau kesal dengan perbuatan terbabit dan pihaknya sedang mengesan individu terlibat.
“Malah pihak kami turut meminta bantuan SWCorp untuk bekerjasama membanteras aktiviti ini, selain meminta penduduk setempat membuat pemantauan secara lebih kerap.
“Mereka yang didapati bersalah melakukan pembuangan sampah haram, boleh dikenakan denda minima RM10,000 sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!