Empat ditahan, hampir 4kg dadah dirampas

No Image Caption
A
A
A

KLUANG - Empat individu termasuk seorang wanita warga Vietnam dan seorang wanita tempatan ditahan bersama dadah jenis syabu dan ganja, seberat hampir empat kilogram bernilai RM200,000 di sebuah rumah teres di Taman Delima 3 di sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 34 tahun itu direman enam hari hingga 6 Mei ini.

Katanya, polis turut menyita dua kereta berserta wang tunai berjumlah RM158,150 dan dadah yang dirampas itu mampu menampung lebih 7,000 penagih.

"Siasatan awal mendapati dadah yang dirampas adalah untuk pasaran sekitar Kluang dan daerah berhampiran, selain suspek baru menyewa rumah berkenaan sekitar dua bulan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di sini pada Rabu.

Bahrin berkata, tiga suspek warga tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan kesemua yang ditahan didapati positif dadah.

Beliau berkata, sejak Januari hingga 30 April lepas pihaknya menahan 406 individu melibatkan pelbagai kesalahan dadah dengan nilai keseluruhan rampasan hampir RM3 juta. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!