Operasi SAR tiga kru kapal hilang diperluas
JOHOR BAHRU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga kru kapal yang hilang dalam kebakaran sebuah kapal tangki di kedudukan 37.5 batu nautika timur laut, Tanjung Sedili Kota Tinggi pada Isnin, diperluaskan kepada tujuh sektor kawasan pencarian pada Rabu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga masih belum dapat mengesan tiga kru berkenaan.
Tiga kru yang masih hilang membabitkan dua warga India iaitu Satyam Tripathi, 26; Dinesh Kumar Chauchan, 34, dan warga Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37.
"Kawasan pencarian dibahagikan kepada tujuh sektor dengan keseluruhan keluasan 371 batu nautika persegi.
"Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Laut Malaysia telah membuat penilaian tahap keselamatan kapal MT Pablo pada pada Rabu, dengan menaiki pesawat AW139, namun kapal MT Pablo masih belum selamat untuk dinaiki," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Operasi SAR melibatkan sebuah aset udara AW139 milik Maritim Malaysia bersama dua buah bot ronda Maritim Malaysia, dua buah kapal dan sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia, sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua buah kapal dari Jabatan Laut Malaysia.
Kapal tangki MT Pablo yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan terbakar pada kira-kira 3 petang Isnin, apabila terdapat seramai 28 kru di dalam kapal tersebut dengan 25 daripadanya telah diselamatkan manakala tiga lagi masih dicari.
Kapal tangki tersebut dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!