Lori ulang-alik isi minyak bongkar seleweng diesel
PUCHONG - Tindakan mencurigakan beberapa buah lori mengisi minyak berulang kali di sebuah stesen minyak membongkar aktiviti penyelewengan diesel di sebuah premis di Puchong di sini pada Rabu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari ini berdasarkan risikan yang telah dijalankan selama sebulan serta aduan orang awam.
"Pemeriksaan di lokasi serbuan menemukan dua tangki serta beberapa peralatan lain dipercayai digunakan untuk kegiatan pemindahan diesel seperti pam dan kompressor.
"Selain itu turut dirampas diesel dianggarkan berjumlah 63,000 liter yang membawa anggaran nilai rampasan sejumlah RM135,450, 15 unit tangki simpanan dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kesemua sitaan berjumlah RM250,000," katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan di sini pada Rabu.
Katanya, siasatan mendapati terdapat kegiatan mengisi minyak di stesen minyak yang beroperasi di sekitar kawasan berhampiran premis tersebut.
"Pengisian minyak dilakukan secara berulang dan kemudiannya dihantar ke premis terbabit.
"Pemeriksaan dijalankan bagaimanapun mendapati premis tersebut kosong dan dipercayai mereka yang terlibat telah melarikan diri," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
"Ia dijalankan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat termasuklah dari mana minyak diesel diperoleh dan diedarkan.
"KPDN Selangor akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang yang dikuatkuasakan di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan ke atas barangan bersubsidi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!