Strok haba: KKM pantau situasi cuaca panas
PUTRAJAYA - Dengan satu kes kematian direkodkan akibat strok haba melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan, Kementerian Kesihatan kini sedang memantau perkembangan situasi cuaca panas di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, orang ramai dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar agar tidak terdedah kepada suhu tinggi selain segera mendapatkan rawatan sekiranya ada gejala strok haba.
"Ada juga beberapa insiden dikaitkan dengan cuaca panas di mana laporan kesihatan menunjukkan ia sebenarnya disebabkan simptom penyakit (gejala strok haba). Jadi segera ke pusat kesihatan untuk dapatkan rawatan.
"Kita sedang memantau situasi cuaca panas ini, dan akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memantau dan mengambil perhatian ke atas anak-anak di sekolah.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak memakai baju berwarna yang menyerap haba supaya tidak meningkatkan suhu badan," katanya kepada media selepas melancarkan Sitkom Agenda Nasional Malaysia Sihat di sini pada Rabu.
Mengenai sitkom Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), Dr Zaliha ketika berucap berkata, sitkom berkenaan bertujuan memantapkan lagi promosi pembudayaan hidup sihat dalam bentuk santai dan menghiburkan.
"Idea ini dilihat antaranya mampu menjadi pemangkin peralihan daripada penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan," katanya.
Sitkom lapan episod itu dibintangi pelakon terkenal tanah air antaranya Liza Abdullah, Nadia Mustafar, Jasmin Hamid dan Acong Sweetchild, bakal ditayangkan menerusi saluran RTM TV1, pada setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10.30 malam, bermula 18 Mei ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!