Kenaikan OPR cermin daya tahan ekonomi Malaysia - Ahli ekonomi
KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus mencerminkan daya tahan ekonomi Malaysia, kata ahli-ahli ekonomi.
Ketua jualan ekuiti Rakuten Trade, Vincent Lau berkata, kenaikan OPR selepas dikekalkan pada Januari dan Mac tahun ini dijangka merupakan yang terakhir bagi tahun 2023.
"Kenaikan kadar itu sememangnya satu langkah mengejut kerana pandangan konsensus menjangkakan tiada kenaikan kali ini,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya, saham perbankan dijangka mendapat manfaat daripada pengumuman yang dibuat oleh BNM itu semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetarinya hari ini yang membawakan kembali kadar faedah penanda aras tersebut ke paras sebelum pandemik.
Begitu juga, MIDF Research menjangkakan OPR akan kekal status quo sekurang-kurangnya sehingga akhir 2023, dan percaya tumpuan penetapan dasar monetari BNM ketika ini adalah untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.
"Dengan OPR dipulihkan ke tahap sebelum pandemik, kami yakin BNM akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat, terutamanya memantau perkembangan bank-bank pusat utama,” katanya.
Jika ekonomi domestik Malaysia meningkat lebih baik daripada jangkaan, firma penyelidikan itu menjangka BNM akan mengoptimumkan bahagian kewangannya dengan menormalkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) daripada dua peratus kepada tiga peratus tahun ini.
Namun begitu, MIDF Research berkata, keputusan itu tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan peningkatan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, khususnya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat.
Selain itu, ia berkata, penormalan kadar dasar diperlukan untuk mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi pada masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan lagi dalam keberhutangan isi rumah dari perspektif jangka sederhana.
Mengenai prestasi ringgit, MIDF Research berkata, mata wang tempatan itu pada asasnya berada dalam kedudukan yang baik memandangkan ekonomi domestik berada pada momentum yang memberangsangkan dan sebagai pengeksport bersih petroleum mentah, gas asli cecair (LNG) dan minyak sawit, Malaysia akan mendapat manfaat daripada harga komoditi yang meningkat.
Firma penyelidikan itu optimis ringgit akan meningkat lebih pantas sebaik sahaja Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menamatkan kenaikan kadarnya, justeru ia mengekalkan unjurannya bagi Dolar AS/Ringgit Malaysia kepada purata pada RM4.20 setiap AS$1 dan mengakhiri tahun 2023 pada RM4.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, BNM mempunyai ruang dasar yang selesa untuk digunakan apabila terdapat keperluan untuk bertindak balas terhadap kejutan ekonomi pada paras tiga peratus.
"Ini benar terutamanya apabila prospek pertumbuhan global kemungkinan mencabar pada masa hadapan berikutan kekangan mudah tunai global serta kadar inflasi yang lebih tinggi,” katanya sambil menambah kenaikan OPR berlaku pada masa yang tepat.
Sementara itu, OCBC Bank berkata, dengan BNM menilai bahawa pendirian dasar monetari agak akomodatif dan kekal menyokong ekonomi, ia menunjukkan bahawa keadaan dasar monetari yang lebih longgar tidak akan dilaksanakan buat masa ini.
"Kami menjangkakan BNM mengekalkan kadar tersebut sepanjang tahun ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!