Harimau Muda belasah Laos

Pemain negara, Aiman Afif cuba melepasi kawalan pemain Laos dalam aksi di Stadium Prince, Phnom Penh pada Rabu.
Pemain negara, Aiman Afif cuba melepasi kawalan pemain Laos dalam aksi di Stadium Prince, Phnom Penh pada Rabu.
A
A
A

SKUAD bola sepak bawah 22 (B-22) tahun negara membuka saingan Sukan SEA Kemboja 2023 dengan langkah kanan selepas membelasah Laos 5-1 di Stadium Prince, Phnom Penh pada Rabu.

Skuad Harimau Muda bermula garang apabila meledak gol pertama menerusi Ubaidullah Shamsul Fazili seawal minit keempat selepas pemain itu menyambar bola yang ditampan oleh penjaga gol Laos, Solasak Thilavong.

Tersentak dengan gol tersebut, Laos berjaya mengimbangi perlawanan sebelum hampir menyamakan kedudukan menerusi Chony Wenpaserth, namun bola rembatannya berjaya digagalkan oleh Sikh Izhan Nazrel pada minit ke-16.

Penjaring gol negara, Ubaidullah Shamsul menghadiahkan gol penyamaan untuk Laos selepas gagal mengeluarkan dengan baik bola hantaran lintang yang dilakukan Phetdavanh Somsanid menyaksikan bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-21.

Skuad negara kembali berada di hadapan menerusi situasi yang seakan sama dengan gol penyamaan Laos apabila pertahanan lawan, Anantaza Siphongphan gagal mengeluarkan dengan baik bola hantaran lintang yang dilakukan Safwan Mazlan pada minit ke-28.

Harimau Muda berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-74 menerusi Syahir Bashah yang melepaskan rembatan deras dalam kotak penalti untuk menewaskan Solasak.

Muhammad Najmudin Akmal menjaringkan gol keempat sebelum gol sendiri pemain Laos, Sonexay pada penghujung perlawanan melengkap malam gemilang skuad muda negara.

Skuad kendalian E Elavarasan itu seterusnya akan menentang Thailand dalam perlawanan kedua Kumpulan B pada Sabtu ini sebelum bertemu Vietnam pada 8 Mei sebelum menutup saingan kumpulan bertemu Singapura pada 11 Mei.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!