Servis 'teman beraya' memalukan, cemar kemuliaan Aidilfitri
BARU -baru ini kecoh mengenai satu trend perkhidmatan yang tak pernah tercapai dek akal Merak Jalanan iaitu ‘teman beraya’ dan ‘kekasih lakonan’ yang ditawarkan menerusi ciapan di media sosial Twitter.
Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menjadi pendengar kepada masalah yang diluah, berlakon untuk kelihatan mesra di depan orang ramai, malah boleh berpegangan tangan dengan kadar bayaran tambahan serendah RM10.
Merak Jalanan menganggap perkara tu bukan saja memalukan apabila si wanita tanpa segan silu mengiklankan diri dengan menayangkan gambar dan meletakkan senarai harga serendah RM100, malah menghina kemuliaan sambutan Aidilfitri.
Berdasarkan komen netizen pun, ramai yang mengecam trend tersebut.
Sekiranya benar perkhidmatan itu wujud, Merak Jalanan menggesa satu tindakan perlu diambil terhadap individu terlibat supaya perbuatan tidak sihat itu tidak meleret kepada generasi muda kita. Bayangkan apabila murid serta pelajar sekolah melihat iklan tersebut.
Merak Jalanan masih ingat pada Februari 2021, wujud satu aplikasi dinamakan Sugarbook yang mempromosikan gaya hidup tidak bermoral.
Aplikasi yang menyediakan platform mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai sugar baby telah disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama semua universiti yang terkait juga menyiasat dakwaan pembabitan pelajar mereka dengan kegiatan sugar baby itu.
Lebih memalukan, Malaysia dilaporkan berada pada kedudukan negara ketiga tertinggi di Asia yang mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, selepas India dan Indonesia.
Sebab itulah trend ‘teman beraya’ itu tidak boleh dipandang ringan supaya ia tidak menjadi barah dalam kalangan anak-anak muda kita pada hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!