Elavarasan anggap belasah Laos bukan perkara besar

E. Elavarasan
E. Elavarasan
A
A
A

MALAYSIA belum boleh menarik nafas lega walaupun mencatat kemenangan bergaya selepas membenam Laos 5-1 pada perlawanan sulung Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023 di Stadium Prince di sini, malam tadi.

Pengendali skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan E. Elavarasan berkata, ini kerana kemenangan besar itu tidak boleh menjadi sandaran ketika anak buahnya turun menentang pemenang pingat emas terbanyak, Thailand yang turut dianggap sebagai antara pasukan pilihan pada perlawanan kedua.

Beliau yang juga Penolong Ketua Jurulatih skuad senior kebangsaan berkata, keputusan 5-1 itu juga seakan tidak memberi apa-apa makna jika pasukannya gagal membawa pulang mata berdepan skuad bimbingan Issara Sritaro itu, Sabtu ini.

"Sebenarnya lima gol dan satu bolos bukan sesuatu yang besar, sebab bila kita bermain dengan Thailand dan kalau kita kalah apa kelebihan lima gol itu? tiada makna, kecuali seri, itu okay...kalau keputusan baik lawan Thailand kelebihan gol itu akan membantu, tetapi kalau kalah tiada kelebihan.

"Jadi kita gembira dengan kemenangan malam ini dan kita bersedia untuk perlawanan seterusnya, tiada apa yang terjamin untuk masa depan bagi semua pasukan, ia hanya petanda yang menunjukkan pasukan itu tidak teruk,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Laos.

Menyedari akan ada peminat mula menaruh harapan tinggi selepas ini, Elavarasan berkata, semua pihak perlu realistik memandangkan Thailand antara pasukan yang membuat persediaan lebih baik, selain juara bertahan Vietnam yang turut diundi dalam kumpulan sama.

"Untuk penyokong, saya boleh ucapkan terima kasih sebab lepas ini pengharapan itu (jadi) tinggi tetapi dari sudut yang betul kita kena lihat bahawa Thailand adalah pasukan yang lebih bersedia, kita mesti memahami pasukan Vietnam yang juga lebih bersedia.

"Bila lawan dengan Thailand kemudian kita boleh tahu apa kedudukan sebenar sama ada kita mampu mengatasi keunggulan Thailand dan Vietnam?. Buat masa ini susah untuk saya katakan (ramalan) tetapi sudah tentu kami teruja berdepan mereka dan boleh belajar sesuatu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap berpuas hati dengan kesungguhan para pemain memburu kemenangan sulung berdepan Laos dengan menyifatkan ia sebagai permulaan yang baik dalam misi layak ke final tatkala pasukan berdepan kekangan masa dalam membuat persiapan.

Elavarasan mengakui tidak menjangkakan kemenangan besar ketika menentang skuad bimbingan Michael Weiss itu, namun melihat ia sebagai petanda kemajuan para pemain memahami kepentingan untuk menyempurnakan setiap peluang jaringan yang terhidang.

Malaysia dan Thailand yang baru bermain satu perlawanan, masing-masing meraih tiga mata di tempat kedua dan ketiga dalam saingan Kumpulan B sementara Singapura dan Laos di kedudukan tercorot selepas gagal mengutip mata dalam dua perlawanan pertama.

Vietnam pula menerajui saingan dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!