Arab Saudi sedia tawarkan RM1.79 bilion untuk Messi
KERAJAAN Arab Saudi dilaporkan sedang menyediakan tawaran mega untuk membawa Lionel Messi ke Liga Pro Saudi pada jendela perpindahan musim panas ini.
Penyerang itu dijangka meninggalkan Paris Saint Germain (PSG) pada penghujung musim ini dengan bapanya, Jorge, dilaporkan memaklumkan keputusan kepada kelab Perancis itu sebulan lalu.
Tidak jelas kemana destinasi seterusnya buat pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu, namun dikaitkan dengan pasukan Al-Hilal yang bersedia untuk menjadikannya pemain dengan bayaran tertinggi dalam sejarah.
Laporan itu dikuatkan lagi selepas Messi digantung selama dua minggu oleh PSG apabila dia pergi ke Arab Saudi tanpa kebenaran kelab itu.
Arab Saudi berharap dapat memujuk Messi mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo ke Timur Tengah selepas pemain Portugal itu menyertai Al-Nassr tahun lalu.
Messi telah ditawarkan £320 juta (RM1.79 bilion) setahun, hampir dua kali ganda daripada £165 juta (RM924 juta) gaji Ronaldo setiap tahun di Al-Nassr.
Tawaran itu telah disediakan sejak beberapa minggu lalu ketika Messi bersiap sedia untuk membuat keputusan besar mengenai masa depannya selepas dia menjadi ejen bebas.
Bekas ketua eksekutif Manchester City, Garry Cook akan terlibat dalam berunding dalam perjanjian tersebut selepas dia dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Liga Pro Saudi pada awal tahun.
Kapten Argentina itu sebelum ini menandatangani perjanjian £25 juta (RM140 juta) setahun dengan Arab Saudi tahun lalu untuk menjadi duta pelancongan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!