Penalti Liverpool memalukan
PENGENDALI Fulham, Marco Silva mendakwa pemberian penalti oleh pengadil yang menghasilkan jaringan kemenangan Liverpool adalah sesuatu yang amat memalukan.
Mohamed Salah menjaringkan gol daripada sepakan penalti tersebut untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Fulham selepas Issa Diop menjatuhkan Darwin Nunez.
Silva tidak percaya pengadil memberikan sepakan penalti tersebut yang disifatkannya sebagai terlalu mudah dan Video Bantuan Pengadil (VAR) gagal menilai semula situasi itu dengan baik.
"Cara mereka menjaringkan gol, saya perlu katakan ia amat memalukan.
"Hari ini dalam bola sepak memberikan penalti kepada kekasaran seperti itu dan VAR gagal untuk menilai dengan baik ia sesuatu yang sukar untuk difahami.
"Saya tidak akan berkata apa-apa lagi kerana akan menjadi sukar untuk saya dan saya tidak mahu menimbulkan lebih banyak masalah. Sukar untuk memahami penalti itu.
"Issa memberitahu saya bahawa ia jelas bukan penalti. Pengadil membuat kesilapan dan VAR ada untuk melihat semula keputusan itu. Itu jelas bagi saya," katanya.
Liverpool teruskan rentak kemenangan
Dalam pada itu, Liverpool berjaya meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Fulham 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield pada Khamis.
Jaringan tunggal menerusi penalti Mohamed Salah sudah cukup untuk memastikan tiga mata buat Liverpool sekali gus mengekalkan harapan tipis mara ke Liga Juara-Juara musim depan.
Kemenangan itu meletakkan Liverpool di kedudukan kelima dengan 59 mata, empat mata di belakang pasukan tangga keempat Manchester United yang berkelebihan dua perlawanan dalam tangan.
Fulham terlebih dahulu memperoleh peluang berharga menerusi Carlos Vinicius namun Alisson Becker menjadi penyelamat untuk mengelakkan dibolosi pada minit ke-14.
Enam minit sebelum tamat babak pertama, berlaku perebutan antara pertahanan tengah Fulham, Issa Diop dan Darwin Nunez dan pengadil memberikan sepakan penalti.
Salah tidak mensiakan peluang dan berjaya meledak gol sekali gus menambah jumlah jaringannya kepada lapan gol dalam lapan perlawanan terakhir di laman sendiri.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp kagum dengan semangat dipamerkan anak buahnya dan menjelaskan musim ini adalah untuk membina momentum.
"Ia adalah sangat penting. Kami perlu cuba membuat sesuatu yang boleh kami gunakan, sesuatu yang boleh kami bina untuk musim depan. Itulah yang kami lakukan dan saya gembira dengannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!