'Selamatkan beca terakhir di Dungun'

Gambar Allahyarham Raja Salleh bersama becanya yang dirakam sebelum meninggal dunia pada Ramadan lalu.
Gambar Allahyarham Raja Salleh bersama becanya yang dirakam sebelum meninggal dunia pada Ramadan lalu.
A
A
A

DUNGUN - Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun akan membaik pulih satu-satunya beca terakhir di daerah itu setelah pemiliknya meninggal dunia pada Ramadan lalu.

Setiausaha Kehormatnya, Wan Mohd Rosli Wan Ngah berkata, sebanyak RM3,000 diperlukan bagi membaik pulih beca yang digunakan sejak 1960-an itu.

Jelasnya, usia beca berkenaan sudah mencecah 63 tahun dan ia antara beca paling lama di Dungun.

"Kos yang diperlukan itu meliputi pembelian oleh persatuan, beli dan tukar alat ganti, baik pulih, penyelenggaraan dan lain-lain perkara berkaitan.

"Beza beca ini dengan beca lain ialah ia masih mengekalkan keaslian dan tidak diubah suai menggunakan peralatan moden atau sebarang tambahan lain," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Wan Mohd Rosli, suatu ketika dulu beca tersebut digunakan sebagai pengangkutan utama penduduk terutama untuk ke pasar Dungun atau ke tempat lain dari kediaman masing-masing.

Ujarnya, beca tersebut juga sebelum ini digunakan untuk mengangkut pekerja lombong bijih besi dari Bukit Besi yang turun dengan kereta api di Stesen Kereta Api Nibong untuk pulang ke rumah.

"Beca ini dikatakan satu-satunya beca terakhir di Dungun yang digunakan untuk membawa penumpang dan barang-barang sebelum pemiliknya, Raja Salleh Raja Yusof yang menetap di Kampung Nibong di sini meninggal dunia pada usia 80 tahun pada Ramadan baru-baru ini.

"Oleh itu, kita berhasrat untuk memuliharanya sebagai salah satu simbol pengangkutan utama di daerah Dungun pada suatu masa dahulu.

"Ia juga bagi memastikan sejarahnya tidak lenyap dari pengetahuan generasi akan datang selain boleh dipamerkan oleh persatuan pada program-program tertentu," katanya.

Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun telah melancarkan Tabung Selamatkan Beca Terakhir Dungun pada 1 Mei lalu sempena mesyuarat agung tahunan persatuan itu di Bilik Seminar Chemerong, Pejabat Pendidikan Daerah Dungun.

Pelancaran tabung itu bertujuan untuk menyelamat, memulihara, membaik pulih dan mengekalkan beca terakhir yang pernah digunakan oleh Allahyarham Raja Salleh yang banyak menyimpan pelbagai memori dan sejarah bagi daerah Dungun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!