Kebakaran: RM450,000 kos bina semula Pasti Nurul Hidayah

Keadaan Pasti Nurul Hidayah yang terbakar 90.99 peratus dalam kebakaran 26 April lalu. (Kanan: Ilustrasi bangunan baharu Pasti Nurul Hidayah menggantikan bangunan lama.)
Keadaan Pasti Nurul Hidayah yang terbakar 90.99 peratus dalam kebakaran 26 April lalu. (Kanan: Ilustrasi bangunan baharu Pasti Nurul Hidayah menggantikan bangunan lama.)
A
A
A

KLANG - Sejumlah RM450,000 diperlukan untuk pembinaan semula Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Nurul Hidayah Jalan Kebun yang musnah dalam kebakaran pada 26 April lalu.

Penolong Pengurus Pasti berkenaan, Zubir Shah Omar berkata, sebuah tapak baharu telah dikenal pasti bagi tujuan pembangunan tersebut.

Menurutnya, dijangka pembinaan bangunan di atas tanah berkelulusan 3,600 kaki persegi itu akan dimulakan sejurus proses kelulusan tanah yang kini di fasa akhir selesai.

"Buat sementara waktu, kesemua 224 pelajar berusia empat hingga enam tahun akan mengikuti pembelajaran di lokasi transit Pusat Ilmu Al Falah, Lorong Haji Abu Bakar, Kampung Jalan Kebun bermula Isnin ini.

"Jaraknya kira-kira 700 meter dari lokasi Pasti asal. Kelengkapan kerusi dan meja serta alat bantu mengajar telah ditempah bagi persiapan di pusat sementara itu sehingga bangunan baharu disiapkan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Zubir
Zubir

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pasti di Lorong Haji Said, Kampung Jalan Kebun, di sini musnah terbakar 90.99 peratus dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari.

Tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Zubir berkata, Pasti berkenaan berusia 33 tahun dan merupakan antara Pasti tertua di Selangor.

"Ia beroperasi di bangunan papan dua tingkat, bahagian atas merupakan musolla manakala tingkat bawah dijadikan Pasti.

"Selepas kejadian, beberapa pihak ada menawarkan pusat sementara dan selepas diteliti, keluasan Pusat Ilmu Al Falah cukup untuk menempatkan pelajar," ujar beliau.

Katanya, kutipan sumbangan melalui akaun Bank Islam 12243010002165 telah dilancarkan bagi menampung kerja-kerja baik pulih dan pembinaan Pasti tersebut.

Tambahnya, pengurusan Pasti itu berharap bangunan baharu dapat disiapkan dalam kadar segera selewatnya tahun depan bagi melancarkan pembelajaran pelajar yang terganggu susulan insiden kebakaran tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!