'Syukri tak bercakap selepas tahu hidap kanser'
Bagaimanapun, Johan dan Samsiah resah memikirkan kesan pembedahan ke atas Syukri yang berisiko kehilangan deria penglihatan.
Samsiah berkata, Syukri juga perlu menjalani rawatan kemoterapi selepas pulih dari pembedahan membuang sel kanser mata yang dijangka pada akhir Januari tahun depan di Hospital Kuala Lumpur.
Katanya, perkhabaran apabila doktor mengesahkan Syukri yang merupakan anak bongsu dari dua beradik itu mempunyai kanser mata dan hidung adalah satu ujian.
Mengakui seakan tidak percaya sewaktu diberitahu tentang penyakit anaknya itu, Samsiah berkata, dia perlu kuat dan sentiasa berfikiran positif demi Syukri.
“Setiap ibu bapa pastinya ingin melihat anak mereka sihat membesar secara normal tanpa menghadapi masalah kesihatan serius.
“Tetapi selepas doktor beritahu Syukri ada kanser, saya rasa sangat sedih. Tapi saya tidak boleh nangis depan Syukri sebab tidak mahu dia rasa lemah,” katanya.
Samsiah yang merupakan suri rumah hanya mahu melihat Syukri sihat dan kembali aktif selepas menjalani pembedahan membuang sel kanser.
Katanya, Syukri berubah menjadi pendiam malah langsung tidak bercakap selepas disahkan menghidap kanser.
“Syukri juga tidak beri respon bila ditanya. Soalan paling mudah, sudah makan dan minum juga tidak diendahkan. Dia diam sahaja, bila diajak berbual dia tidur.
“Masanya kini lebih banyak terbaring atas katil. Saya dan suami ada cuba bawa dia keluar berjalan-jalan, tetapi dia menolak,” katanya.
Samsiah berkata, dia tidak pernah serik mendekati Syukri walaupun anaknya itu kelihatan seperti hilang semangat.
“Sebagai ibu saya tetap reda dan harap dia selamat. Ajal dan maut di tangan tuhan. Saya dan suami kena banyak bersabar.
“Kami sudah bersedia terima apa juga perubahan fizikal Syukri selepas pembedahan kelak kerana sel kanser hidung dan mata Syukri sudah merebak,” katanya.
Dalam masa yang sama, Samsiah bersyukur keluarga, saudara mara dan rakan-rakan banyak memberikan bantuan dan kata-kata semangat.
“Alhamdulillah, ramai yang tolong saya dan suami. Setiap kali hendak hantar Syukri buat rawatan di Hospital Kuala Lumpur ada yang bantu hantar ke sana.
“Pernah juga sebelum ini naik bas ke HKL. Tetapi keadaan Syukri yang kerap pening dan silau membuatkan dia tidak boleh baik bas lagi.
“Pemeriksaan pula perlu dilakukan setiap bulan bergantung kepada kesihatan Syukri. Memang jauh dari Pontian hendak ke Kuala Lumpur makan masa lebih enam jam ke sana,”katanya.
Terdahulu pada 18 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan penderitaan Mohd Syukri yang bergantung kepada ubat dari hospital untuk menahan sakit kepala.
Syukri juga kerap demam sejak setahun lalu, dan mata kanan yang semakin membesar berbanding kiri.
Dia bersama ibu dan bapanya kerap berulang-alik ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur.
Bapa Syukri, Johan pula semakin uzur dan menghidap penyakit darah tinggi,menyebabkan dia perlu dibantu isterinya Samsiah setiap kali turun ke laut menangkap ikan demi mencari rezeki.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!