KPM tidak bercadang ambil guru sandaran

Fadhlina (tiga dari kanan) menziarahi seorang guru pada Program Ziarah Selamat Hari Raya Cikgu di Tanjong Karang di sini pada Khamis.
Fadhlina (tiga dari kanan) menziarahi seorang guru pada Program Ziarah Selamat Hari Raya Cikgu di Tanjong Karang di sini pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang mewujudkan semula jawatan guru sandaran sebaliknya menawarkan pengambilan guru secara one-off bagi menampung isu kekurangan guru di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini, sebanyak 260,000 permohonan diterima melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Menurutnya, daripada jumlah permohonan itu, hanya 19,000 sahaja kekosongan yang ditawarkan bagi mengisi kekurangan penjawatan tersebut.

"Kita harap mereka yang memohon memenuhi kriteria kerana pengambilan dan penempatan guru ketika ini dibuat secara one-off," katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Selamat Hari Raya Cikgu di Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Fadhlina berkata, seramai lebih 8,000 guru telah diambil pada pengambilan pertama pada Februari lalu.

Jelas beliau, kementeriannya juga membuka peluang kepada graduan universiti awam tanpa iktisas pendidikan untuk memohon menjadi guru.

"Pada masa ini saya lihat ramai yang ingin menjadi guru dan saya fikir ini perkembangan baik terutama dalam menangani isu pengangguran selepas tamat pengajian di universiti," jelas beliau.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon supaya KPM menawarkan semula jawatan guru sandaran bagi menampung isu kekurangan guru termasuk di Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon berkata, berdasarkan kajian dilaksanakan NUTP mendapati faktor kekurangan guru antaranya disebabkan pertambahan sekolah baharu, pertambahan murid dan kelas, persaraan awal dan wajib serta faktor kesihatan guru.

Ditanya mengenai jaminan kerajaan melakukan penilaian semula berhubung isu gaji penjawat awam, Fadhlina berkata, beliau menyambut baik cadangan itu.

"Pastinya ia disambut baik penjawat awam khususnya guru tetapi ia bergantung kepada banyak keadaan khususnya JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan kemampuan negara," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!