Adam mahu lengkapkan koleksi pingat
SELEPAS meraih gangsa pada edisi di Manila 2019 dan perak di Hanoi 2021, atlet jujitsu negara, Adam Akasyah kini mengintai kilauan pingat emas di Sukan SEA 2023 Kemboja bagi melengkapkan koleksi tiga warna pingatnya.
Pemuda berusia 23 tahun itu yakin mampu meraih emas menerusi acara Gi bawah 69 kilogram (kg) selepas latihan menyeluruh selama setahun untuk temasya dwitahunan itu.
"Persediaan kali ini adalah yang paling lengkap setakat ini berbanding dua Sukan SEA sebelumnya, iaitu kami mempunyai tambahan pakar psikologi sukan, latihan yang lebih khusus dan pasangan sparring yang sangat bagus.
"Saya 150 peratus bersedia dan ia sepatutnya emas. Tiada tekanan untuk saya dan saya berharap dapat tuah (bertanding) kali ketiga,” katanya.
Meskipun menyasarkan emas, pelajar sains sukan daripada Universiti Malaya itu tidak memandang rendah cabaran daripada juara bertahan, Noah Lim daripada Singapura, ekoran pengalaman dan keupayaannya untuk meraih mata.
Pada final edisi lepas, Adam hampir memenangi emas selepas dia jauh mendahului Lim, namun kecederaan buku lali memaksanya untuk menarik diri daripada perlawanan itu.
Sementara itu, seorang lagi atlet jujitsu Malaysia, Soo Yan Wei, berazam untuk memperbaiki persembahannya selepas pulang dengan tangan kosong daripada Manila 2019.
Dia telah bersedia untuk bertarung dalam acara No Gi bawah 69kg lelaki, yang akan diadakan di Chroy Changvar Convention Centre.
"Pada 2019, saya buat kesilapan terlalu memikirkan tentang pingat, kali ini saya hanya mahu fokus untuk menghasilkan aksi yang lebih baik.
"Kalau anda beraksi bagus, anda punya peluang baik untuk mendapatkan pingat,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!