Kenaikan OPR cermin daya ekonomi negara di tahap terbaik
SHAH ALAM - Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat 25 mata asas kepada 3.00 peratus mencerminkan daya tahap ekonomi negara pada tahap terbaik.
Setiausaha Cabang PKR Ampang, Aidi Amin berkata, peningkatan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus itu menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar pada zaman ketika pra pandemik Covid-19 perlu dilihat dari sudut positif.
“Penerimaan kenaikan ini wajar dinilai dari sudut lebih baik dari aspek mengimbangkan kembali ekonomi negara.
“Malah rakyat yang memiliki komitmen pinjaman atau pelaburan akan menyebabkan mereka lebih berwaspada,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, rakyat harus bersikap lebih berhemah dalam tanggungjawab fiskal agar tidak berbelanja lebih dari kemampuan.
Ujarnya, pemantauan secara berkala wajar diambil oleh bank pusat bagi memastikan kesejahteraan ekonomi dapat dilindungi.
“Walaupun pertumbuhan ekonomi negara dengan kemasukan pelabur dan pelancong semakin bertambah, kerajaan juga perlu menggunakan metrik yang lebih adil dalam menangani kenaikan kos sara hidup.
“Kerajaan sebelum ini pernah menyarankan rakyat untuk membuat pilihan bijak termasuk menangguhkan sementara pembelian ayam sebagai langkah untuk menangani isu kenaikan harga.
“Dari segi teori itu akan menekan pembekal, tetapi lumrah manusia adalah mahukan jaminan kesejahteraan,” jelasnya
Jelasnya lagi, adalah lebih baik memainkan peranan masing-masing sebagai peniaga mahupun pengguna berlandaskan prinsip kebergantungan dan kesederhanaan bagi memantapkan sosioekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!