El Nino: Melaka jamin bekalan air cukup

Ab Rauf
Ab Rauf
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan air di Melaka tidak akan terjejas berikutan fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku pada Jun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, bekalan air di kolam tadahan air sedia ada ketika ini berada pada tahap maksimum sekali gus mampu menampung keperluan lebih 900,000 penduduk di Melaka dijangka hingga Ogos.

"Setakat ini semua kolam-kolam tadahan berada dalam keadaan 100 peratus bersedia.

"Walaupun El Nino dijangka melanda Melaka dalam tempoh musim kemarau ini, namun kerajaan negeri dan Syarikat Air Melaka (Berhad) telah bersedia untuk menjadualkan bekalan air," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di sini, pada Khamis.

Ab Rauf (tengah) ketika beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di sini, pada Khamis.
Ab Rauf (tengah) ketika beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di sini, pada Khamis.

Hadir sama ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin.

Tambah beliau, Melaka masih menerima taburan hujan dan setakat Selasa lalu, Empangan Jus dan Asahan di Jasin masing-masing mencatatkan paras 100 peratus manakala Empangan Durian Tunggal 99.7 peratus.

"Dalam masa sama kita sedang usahakan kadar penyuraian pembahagian air ke seluruh kawasan akan dibuat secara berjadual.

"Kita telah bersedia dengan perancangan yang terbaik," katanya.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan persediaan awal bagi menghadapi fenomena El Nino kuat yang diramal berlaku Jun ini perlu dilaksanakan segera dengan melibatkan dua pemegang taruh utama negara iaitu kerajaan dan rakyat untuk meminimumkan impak fenomena itu.

Pakar alam sekitar, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, walaupun Malaysia pernah beberapa kali mengalami fenomena tersebut, persiapan awal meliputi semua aspek adalah perlu bagi mengelakkan kepanikan melampau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!