Tayar lori sesat hentam kereta polis
ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Malang tidak berbau apabila sebuah kereta peronda polis dihentam tayar lori sesat dipercayai berlaku di Sungai Petani, dekat sini, pada Rabu.
Kejadian tersebut dirakam menerusi kamera kamera papan pemuka (dashcam) oleh seorang pemandu lori di persimpangan lampu isyarat semasa melalui kawasan tersebut kira-kira jam 12.12 tengah hari.
Menerusi video tular berdurasi 59 saat dikongsikan akaun TikTok pcik78 tersebut, kelihatan beberapa kenderaan termasuklah kereta peronda polis yang memandu seperti biasa sebelum berhenti di lampu isyarat.
Bagaimanapun, tidak lama kemudian muncul tayar lori secara tiba-tiba dipercayai tercabut sebelum melantun ke laluan bertentangan.
Tayar lori itu seterusnya melanggar sebuah kereta peronda polis hingga rakaman video itu tular dengan mencecah 76,500 tontonan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan polis berhubung kejadian pada Selasa.
Menurutnya, kejadian itu didapati berlaku di simpang 3 Jalan Lencong Timur melibatkan sebuah treler yang bergerak dari arah Tol Sungai Petani Utara menghala ke Ambangan Height, manakala kereta peronda polis (MPV) yang bergerak dari arah Ambangan Height menghala ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila sampai di simpang tiga dan treler dalam proses membelok di susur kiri," katanya.
Beliau memaklumkan, semasa dalam proses membelok, gandar tayar belakang treler itu telah tertanggal dan bergolek masuk ke laluan bertentangan sehingga terkena pada kereta peronda yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat merah.
"Ketika kejadian, dua anggota dari cawangan MPV IPD Kuala Muda dalam perjalanan balik ke ibu pejabat selepas selesai tugas namun ia hanya melibatkan kerosakan kenderaan dan tidak melibatkan kecederaan," katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada treler yang gagal diselenggara dengan sempurna.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!