Anak Thaksin tolak cuti rehat bersalin

Paetongtarn (kanan) diiringi ahli keluarganya ketika memperkenalkan Thasin kepada umum. - Foto AFP
Paetongtarn (kanan) diiringi ahli keluarganya ketika memperkenalkan Thasin kepada umum. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Salah seorang calon pilihan untuk merebut jawatan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang baharu melahirkan anak beberapa hari lalu akan menyambung semula kempen pilihan raya pada minggu depan.

Paetongtarn, 36, membuat kemunculan pertama pada Rabu untuk memperkenalkan anak keduanya, Prutthasin atau Thasin yang berusia tiga hari kepada umum yang dianggap satu rahmat kepadanya menjelang pemilihan penting pada 14 Mei ini.

“Negara kita memerlukan perubahan dan Parti Pheu Thai adalah satu-satunya jawapan untuk menjayakannya,” kata anak bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra tersebut pada sidang akhbar di Praram 9 Hospital di Bangkok.

Paetongtarn turut menyifatkan kelahiran puteranya sebagai ‘kuasa rahsia’ beliau.

“Saya percaya perkara yang baik datang dengan bayi. Kehadirannya adalah satu rahmat kepada keluarga saya.

“Anak-anak saya adalah ‘kuasa rahsia’ untuk saya bekerja dan teruskan hidup,” ujarnya lagi.

Beliau turut menzahirkan rasa teruja untuk memastikan Pheu Thai menang besar sekali lagi setelah meraih kemenangan sejak 2001.

Kebanyakan penganalisis bagaimanapun meramalkan Pheu Thai mungkin kehilangan ‘tuah’ pada kali ini dan perlu membentuk pakatan yang pernah gagal dilakukan pada Pilihan Raya Umum 2019.

Tinjauan terbaharu juga menunjukkan pemimpin berkarisma, Pita Limjaroenrat yang memimpin Parti Move Forward mendahului Paetongtarn buat pertama kali dengan 35.4 peratus sokongan, berbanding 29.2 peratus yang diraih olehnya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!