Orang ramai harap harga durian turun tahun ini
SHAH ALAM - Peniaga durian tempatan diharap dapat menurunkan harga raja buah itu supaya ia terus mendapat sambutan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut Muhammad Hamizan Nazri, 24, perkara itu disebabkan permintaan terhadap buah itu di peringkat antarabangsa bakal terkesan kerana terdapat negara termasuk China yang telah mula memasarkan durian sendiri.
Justeru, ujarnya, peniaga seharusnya perlu lebih fokus untuk menarik perhatian masyarakat tempatan.
“Harga durian tidak seperti buah lain, sangat eksklusif. Mana-mana keluarga yang tidak mampu memang tak makan rasanya buah ini sedangkan ia produk keluaran negara kita.
“Jadi, saya haraplah kepada peniaga, tahun 2023 ini, tolong turunkan sedikit harga. Kalau biasa jual RM40 ke RM50, sekarang ini boleh dah jual sekitar RM20,” katanya yang bekerja di sebuah perusahaan teknikal.
Pandangan sama turut dilontarkan Asrul Hafiz, 40, yang menyatakan pengusaha buah itu seharusnya perlu mengambil berat terhadap permintaan masyarakat sekitar.
Jelas ayah kepada dua orang anak itu, sekiranya tidak mendapat sambutan di pasaran antarabangsa, sekurang-kurangnya peringkat tempatan masih ada.
“Durian ini saya boleh kata antara makanan simbolik bagi masyarakat kita. Tapi kalau rakyat kita sendiri tak mampu beli kerana harga, saya kira perkara itu amat janggal.
“Saya fikir semua pihak perlu ada kerjasama terutama pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), rancakkan lagi jualan dalam kalangan orang ramai,” ujarnya.
Aliah Aziz, 25, turut berharap tahun 2023 ini menjadi sinar baharu buat penggemar durian termasuk dirinya sendiri.
“Biasa dengar rungutan orang, harga kadang-kadang mahal sangat, harapnya tahun ini adalah penurunannya,” kata anak jati Shah Alam itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!